
Flotilla Sumud Global pada Rabu mengumumkan rancangan untuk membawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas berulang kali diserang dron ketika belayar di perairan antarabangsa menuju ke Gaza.
Peguam Maghribi, Abdelhaq Benqadi yang mewakili Kesatuan Peguam Arab berkata, pasukan undang-undang flotilla sedang mengumpul bukti berkaitan “jenayah perang di laut.” Bukti itu termasuk jenis dan bilangan dron yang digunakan, kesan gangguan elektronik, jenis peluru, serta kerosakan yang berlaku. Laporan lengkap akan diserahkan ke The Hague.
Terdahulu, penganjur melaporkan sebanyak 12 letupan menyasarkan sembilan kapal bantuan selepas dron berulang kali menggempur flotilla tersebut. Walaupun Israel tidak membuat sebarang kenyataan, ia sebelum ini mengugut akan menghalang misi itu daripada sampai ke Gaza.
“Ini adalah jenayah perang sepenuhnya dan ICC mesti bertindak,” tegas Benqadi dalam kenyataan di media sosial.
Israel sebelum ini kerap memintas kapal bantuan ke Gaza, merampas kapal serta mengusir aktivis, tindakan yang dikecam masyarakat antarabangsa sebagai lanun moden.
Flotilla kali ini antara yang terbesar, melibatkan hampir 50 kapal yang membawa bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan. Ia bertujuan memecahkan sekatan 18 tahun Israel terhadap 2.4 juta penduduk Gaza.
Kes ini menambah tekanan undang-undang ke atas Israel yang kini berdepan siasatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Setakat ini, lebih 65,400 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh sejak serangan bermula pada Oktober 2023.
Pada November 2024, ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Sumber: Anadolu & Agensi