PalestinSemasa

Gaza Jadi Medan Paling Berbahaya untuk Wartawan, Namun Liputan Tetap Diteruskan

Di tengah-tengah serangan tanpa henti dan risiko maut, wartawan di Gaza terus berjuang untuk mendokumentasikan penderitaan rakyat mereka, meskipun berdepan kempen yang dilihat bertujuan menutup suara media Palestin.

Antara yang terkesan ialah wartawan Palestin, Ahmed al-Agha, 37, yang mengalami kecederaan parah selepas khemah wartawan di sebelah Hospital Nasser, Khan Younis, diserang udara Israel pada 7 April lalu. Serangan itu memutuskan arteri, mematahkan kaki kanannya di tiga tempat, dan meninggalkan serpihan di tubuhnya. Kini, beliau hanya mampu bergerak perlahan dengan tongkat dan dinasihatkan doktor untuk berehat sepenuhnya.

Tragedi terbaru berlaku pada Ahad lalu apabila serangan udara Israel menyasarkan khemah wartawan di luar Hospital al-Shifa, Kota Gaza. Lima wartawan Al Jazeera – Anas al-Sharif, Mohammed Qreiqea, Hisham al-Nawajha, Mohammed Breka, dan Ayman al-Jadi – terbunuh. Ia menjadi serangan tunggal paling maut terhadap wartawan sepanjang konflik ini.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sekurang-kurangnya 192 wartawan dan petugas media telah terbunuh di Gaza sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023. Sindiket Wartawan Palestin melaporkan angka korban lebih tinggi – 238 terbunuh dan lebih 500 cedera.

Wartawan Al-Ghad, Ibrahim Qannan, 49, yang turut cedera pada hari pertama perang, menyifatkan situasi ini sebagai “pembunuhan terancang” untuk menghalang liputan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Beliau kini hidup berpindah-randah bersama keluarganya di khemah di al-Mawasi, namun tetap meneruskan kerja walaupun nyawa sentiasa terancam.

Serangan terhadap media Gaza turut melibatkan sekatan kemasukan wartawan antarabangsa, memaksa wartawan tempatan menjadi satu-satunya saksi kepada krisis kemanusiaan ini. Badan pemantau media seperti Reporters Without Borders (RSF) dan Persekutuan Antarabangsa Wartawan (IFJ) mengecam keganasan “tidak pernah berlaku sebelum ini” dan menuntut siasatan antarabangsa.

Dr. Tahseen al-Astal, Timbalan Ketua Sindiket Wartawan Palestin, menyifatkan pembunuhan wartawan ini sebagai usaha untuk menjadikan Gaza “kotak hitam” – memadamkan bukti jenayah perang dan menghalang kemasukan media asing.

Walaupun kekurangan makanan, ubat-ubatan, dan tempat tinggal, wartawan Gaza menegaskan mereka akan terus berada di lapangan. “Kewartawanan di sini bukan sekadar profesion,” kata al-Agha. “Ia adalah misi kemanusiaan dan kebangsaan. Berdiam diri bererti bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat kami.”

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button