DomestikSemasa

Gunung Kinabalu miliki monumen penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia

Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini mengiktiraf penanda arah kiblat yang dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut di KM8 Gunung Kinabalu sebagai Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemasangan monumen tersebut amat signifikan dalam membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat ketika menunaikan solat di altitud tinggi, sekali gus menyelesaikan cabaran ibadah di kawasan ekstrem.

“Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran. Usaha ini amat tepat pada masanya kerana memberikan kemudahan dan keyakinan kepada mereka untuk menunaikan solat dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji menjelaskan bahawa pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian fizikal, tetapi juga simbol kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah yang berjaya menggabungkan ilmu falak, teknologi dan ketahanan fizikal dalam satu projek yang unik.

Beliau menambah, monumen yang berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia itu menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam, serta pengiktirafan terhadap usaha dakwah dan inovasi ilmu falak.

Projek berkenaan dilaksanakan dalam beberapa fasa, bermula dengan tinjauan awal dan penentuan arah kiblat oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah, diikuti kerja-kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Antara agensi lain yang terlibat termasuk Taman-Taman Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Ketua Menteri, polis, bomba, Radio Televisyen Malaysia, Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Bahagian Istiadat serta Protokol.

“Sinergi semua agensi ini membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, ia mampu mencipta satu kejayaan besar. Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan Allah SWT,” katanya.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button