KUALA LUMPUR : Bekas wartawan hiburan yang terkenal, Nas Ahmad, 62 tahun, telah disahkan menghidapi penyakit jantung awal tahun lalu. Nas, nama sebenarnya Md Nasir Ahmad, menyatakan bahawa keadaan kesihatannya kini stabil meskipun beliau mengalami penyumbatan saluran jantung akibat kolestrol.
Nas Ahmad yang dikenali dengan segmen Terjah di Melodi turut menyatakan bahawa keadaan kesihatannya semakin merosot, menyebabkan beliau cepat penat dan mengalami masalah penglihatan yang semakin kabur. Meskipun demikian, beliau masih aktif menghasilkan konten video untuk saluran YouTube miliknya.
Peka akan nasib yang menimpa bekas wartawan itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hadir dalam program Ziarah Madani Finas menghulurkan bantuan kepada Nas Ahmad, yang telah mengalami kesukaran ekonomi disebabkan penyakit yang dideritanya.
Sewaktu ziarah, Nas Ahmad turut berkongsi perjalanan beliau sebagai seorang pesakit jantung.
“Sewaktu saya disahkan menghidapi jantung, saya menunggu lebih setahun untuk slot pembedahan di Hospital Serdang, saya memahami bahawa terdapat kes-kes lain yang lebih kritikal yang perlu didahulukan. Namun, saya tetap bersabar dan terus berusaha,” ujarnya.
“Kehidupan saya kini tanpa pendapatan tetap adalah ujian yang besar bagi saya. Saya harus kuat semangat dan reda dengan keadaan ini,” katanya.
Menurut Zed Zaidi, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang juga kini ahli lembaga pengarah FINAS berkata “Tujuan program ini dijalankan adalah untuk membela bekas pengiat seni yang dilanda kesukaran. Bukan itu sahaja, malah ini menunjukan komitmen kami dalam usaha membela nasib mereka”
Nas Ahmad kini hanya bergantung kepada pendapatan dua anaknya yang bekerja di kedai serbaneka. Beliau bersyukur kerana mendapat bantuan kewangan dari Pusat Zakat Selangor (PZS) untuk melunaskan sewa bulanan rumahnya.
Sebelum ini, Nas Ahmad yang mempunyai empat anak dan dua cucu telah didiagnos menghidap penyakit jantung sejak dua tahun lalu.