
Penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, menganggap panggilan pertama menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi saingan Piala ASEAN 2026 sebagai satu bentuk penghargaan terbesar sepanjang karier bolasepaknya.
Pemain yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Vencedor Mie United Club itu mengakui hampir menitiskan air mata sejurus menerima perkhabaran gembira berkenaan selepas sekian lama menantikan peluang menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Beliau menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, amat bermakna selepas berdepan pelbagai ujian sukar—termasuk isu tunggakan gaji semasa bersama PDRM FC serta kecederaan serius ligamen krusiat anterior (ACL) pada tahun 2021.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada coach Tan Cheng Hoe kerana percaya kepada saya. Ini satu detik yang sangat membanggakan kerana menyarung jersi pasukan kebangsaan sentiasa menjadi impian saya. Lebih-lebih lagi ini panggilan pertama, saya bertekad mahu berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini.
Bekas penyerang skuad bawah 23 (B-23) negara itu menambah, pengorbanannya berhijrah ke Jepun dan berjauhan daripada keluarga terpaksa dilakukan bagi memastikan kerjaya profesionalnya terus berkembang.
Ahmad Aysar Hadi Bersedia Tekad Galas Cabaran
Dalam pada itu, tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ahmad Aysar Hadi Shapri, menegaskan beliau tidak gentar untuk bersaing meskipun baru pertama kali dipanggil menyertai skuad senior bagi menggantikan pemain berpengalaman, Dominic Tan.
Ahmad Aysar meluahkan rasa bangga atas peluang berkenaan dan sedia memberi persembahan terbaik selepas sebelum ini berada dalam senarai pemain bersedia.
Untuk saingan Piala ASEAN 2026 yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Thailand, Laos, Filipina, dan Myanmar. Dua pasukan teratas kumpulan bakal mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.
— BERNAMA






