
Pergerakan penentangan Palestin, Hamas, menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa kumpulan itu telah bersetuju untuk melucutkan senjata di bawah pengawasan antarabangsa sebagai sebahagian daripada rancangan Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beberapa laporan sebelum ini menyebut bahawa Hamas bersetuju menyerahkan senjatanya kepada jawatankuasa Palestin–Mesir dengan pemantauan antarabangsa sebagai sebahagian daripada rundingan gencatan senjata.
Namun, anggota kanan Hamas, Mahmoud Mardawi, dalam satu kenyataan menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “rekaan semata-mata”.
“Kami menafikan secara mutlak laporan palsu yang disiarkan oleh beberapa media mengenai rundingan gencatan senjata serta pendirian Hamas terhadap isu pelucutan senjata,” katanya.
Menurut Mardawi, laporan berkenaan tidak berasas dan bertujuan memesongkan pendirian Hamas serta mengelirukan masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menyeru agar media antarabangsa mengesahkan maklumat daripada sumber yang sahih dan tidak menyebarkan khabar angin atau laporan yang tidak disahkan.
Rundingan Akan Diteruskan di Mesir
Mesir dijadual menjadi tuan rumah kepada delegasi Hamas dan Israel pada Isnin, bagi membincangkan butiran perjanjian pertukaran tahanan di bawah pelan Gaza yang dicadangkan oleh pentadbiran Trump.
Pada 29 September lalu, Trump mengumumkan rancangan 20 perkara yang merangkumi pembebasan tahanan dari kedua-dua pihak, pelaksanaan gencatan senjata, pelucutan senjata Hamas, serta pembinaan semula Gaza.
Hamas dilaporkan bersetuju secara prinsip dengan rancangan tersebut, namun menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan mesti menjamin hak dan keselamatan rakyat Palestin.
Krisis Kemanusiaan Berterusan di Gaza
Sementara itu, serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023 telah menyebabkan lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah teruk, dan hampir seluruh penduduknya terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing, menjadikan enklaf itu sebagai antara zon bencana kemanusiaan paling parah di dunia.
Sumber: TRT World & Agensi