PalestinSemasa

Hamas Tuduh AS ‘Subahat’ Dalam Serangan Israel di Qatar

Hamas menuduh Amerika Syarikat bersubahat dalam serangan udara Israel yang mensasarkan perunding kumpulan itu di Qatar, yang didakwa cuba menggagalkan proses rundingan gencatan senjata Gaza.

Dalam kenyataan disiarkan televisyen, pegawai Hamas Fawzi Barhoum menyifatkan serangan itu sebagai “pembunuhan terhadap keseluruhan proses rundingan” dan menegaskan ia merupakan serangan yang disengajakan terhadap peranan pengantaraan Qatar dan Mesir.

Serangan di ibu negara Doha yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mengejutkan rantau Teluk dan menimbulkan kebimbangan baharu mengenai keselamatan proses rundingan.

Upacara pengebumian diadakan di Masjid Sheikh Mohammed bin Abdul Wahhab dengan kawalan keselamatan ketat. Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, hadir bersama ribuan yang berkabung.

Satu keranda dibalut bendera Qatar dan lima lagi dengan bendera Palestin dibawa masuk ke masjid sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Mesaimeer.

Antara yang terkorban ialah anak lelaki Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya Jihad Labad, serta beberapa pengawal peribadi. Seorang anggota tentera Qatar, Lans Koperal Badr Saad Mohammed al-Humaidi al-Dosari turut terkorban. Hamas memaklumkan isteri, menantu dan cucu Hayya cedera dalam serangan itu.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, menyifatkan serangan itu telah “membunuh segala harapan” untuk pembebasan tebusan Israel di Gaza dan mengesahkan Doha kini menilai semula peranan pengantaraannya. Beliau turut menggesa tindak balas kolektif rantau Arab-Islam dan memaklumkan sidang kemuncak khas akan diadakan di Doha.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan berkenaan tanpa menamakan Israel secara langsung, manakala Rumah Putih menyatakan Presiden Donald Trump tidak memberi kelulusan tindakan itu, sebaliknya mendakwa amaran telah dihantar tetapi “terlambat untuk menghentikan serangan”.

Israel dalam kenyataannya berkata serangan tersebut menyasarkan kepimpinan kanan Hamas, meskipun kumpulan itu menegaskan pegawai tertingginya masih terselamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan tiada negara Palestin akan diwujudkan, ketika berucap pada majlis pelancaran projek penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki.

Qatar sejak 2012 telah menjadi tuan rumah pejabat politik Hamas dengan pengetahuan AS dan Israel, berperanan sebagai hab utama pengantaraan dalam konflik berpanjangan Gaza.

— TRT World

Related Articles

Back to top button