
Hampir empat juta rakyat Syria telah pulang ke kediaman masing-masing sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa keperluan kemanusiaan di negara itu kekal mendesak di tengah-tengah ketidaktentuan politik, aktiviti ketenteraan Israel serta kekurangan dana yang mengancam fasa peralihan yang rapuh.
Penolong Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Mohamed Yahya, ketika memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB bagi pihak ketua bantuan badan dunia itu, Tom Fletcher, pada Isnin berkata terdapat tanda-tanda kemajuan yang tidak dapat dinafikan di negara berkenaan.
“Sejak Disember 2024, hampir empat juta rakyat Syria telah kembali ke rumah mereka secara sukarela,” katanya sambil memaklumkan bahawa sejak mesyuarat majlis pada Oktober lalu, seramai 60,000 lagi pelarian dalaman telah pulang — dua pertiga daripadanya dari kem penempatan — di samping 18,000 pelarian dari luar negara.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kepulangan penduduk tidak bermakna krisis kemanusiaan telah berakhir.
“Bagi banyak keluarga, kepulangan menandakan permulaan perjuangan baharu,” ujar Yahya sambil mendedahkan bahawa lebih 730,000 penduduk masih terpaksa berlindung di kem-kem pelarian.
Menurut beliau, saki-baki bahan letupan perang turut menghalang golongan petani daripada mengusahakan tanah pertanian serta menyukarkan komuniti setempat untuk membina semula kehidupan. Meskipun rakan kongsi PBB berjaya membersihkan lebih 700,000 meter persegi kawasan tanah tercemar pada separuh pertama tahun ini, usaha jauh lebih besar masih diperlukan.
Mengulas mengenai musim sejuk yang semakin hampir, Yahya menganggarkan seramai 2.4 juta rakyat Syria memerlukan bantuan tambahan, manakala pelan tindak balas kemanusiaan yang menyasarkan lebih 970,000 individu berisiko tinggi setakat ini hanya menerima pembiayaan sebanyak 40 peratus.
“Mesej saya kepada Majlis ini adalah terus terang: kekalkan pembiayaan kemanusiaan, sokong operasi pembersihan periuk api dan tindak balas musim sejuk sambil melabur dalam penyelesaian serta pemulihan yang mampan,” tegasnya.
Dalam sesi taklimat yang sama, Timbalan Utusan Khas PBB untuk Syria, Claudio Cordone, menyatakan bahawa bulan hadapan bakal menandakan genap dua tahun bermulanya era baharu di Syria.
Cordone menyifatkan penubuhan Dewan Rakyat sementara sebagai antara pencapaian penting dalam proses peralihan tersebut, namun menegaskan bahawa persediaan ke arah pembentukan perlembagaan kekal serta pelaksanaan pilihan raya yang inklusif dan boleh dipercayai memerlukan kejelasan dari segi proses dan garis masa.
“Semua ini sudah tentu merupakan perkara yang perlu ditentukan oleh rakyat Syria sendiri. Masa semakin suntuk,” katanya sambil memaklumkan bahawa pejabatnya telah mengemukakan cadangan berkaitan kepada pihak kerajaan.
Memetik anggaran Bank Dunia, Cordone berkata kerja-kerja pembinaan semula aset fizikal yang musnah sahaja dijangka menelan kos sebanyak AS$216 bilion, sekali gus menuntut sokongan berterusan daripada masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan ketenteraan Israel yang berterusan melanggar kedaulatan dan integriti wilayah Syria, termasuk insiden pencerobohan, pemasangan sekatan jalan raya sementara, penahanan serta insiden tembakan.
“Saya mengulangi seruan Setiausaha Agung agar pelanggaran terhadap Perjanjian Pengurangan Tentera 1974 dihentikan segera, kedaulatan serta integriti wilayah Syria dihormati sepenuhnya, dan isu rakyat Syria yang ditahan di Israel diselesaikan,” katanya.
Selain itu, Cordone memberi amaran bahawa ancaman daripada kumpulan pengganas Daesh kekal serius, sambil merujuk laporan pasukan keselamatan Syria yang berjaya membongkar beberapa sel kumpulan berkenaan di Rankous, kawasan luar bandar Damsyik serta di Aleppo.
Sumber: Agensi Anadolu (Anadolu Ajansı)






