DuniaInspirasiKemanusiaanSemasa

Hari Kemanusiaan Sedunia 2022: “Anda adalah aktivis sebenar!”

It takes a village to raise a child” merupakan peribahasa popular Afrika yang boleh diterjemahkan sebagai “Ia memerlukan satu kampung untuk mendidik seorang anak” dipilih sebagai tema untuk Hari Kemanusiaan Sedunia tahun ini.

Makna di sebalik peribahasa ini adalah setiap anggota komuniti bertanggungjawab mendidik kanak-kanak supaya dapat membesar dalam keadaan yang selamat, sihat, harmoni serta aman.

Selain itu, Hari Kemanusiaan tahun ini juga kembali mengenang sejarah pada 19 Ogos 2003, seramai 22 pekerja bantuan kemanusiaan maut dalam serangan bom di Hotel Canal di Baghdad, Irag termasuk Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Iraq, Sergio Vieira de Mello.

Lima tahun kemudian, Perhimpunan Agung menerima pakai resolusi yang menetapkan 19 Ogos sebagai Hari Kemanusiaan Sedunia (WHD).

Setiap tahun, WHD memfokuskan pada tema menghimpunkan rakan kongsi dari seluruh sistem kemanusiaan bagi menyokong kelangsungan hidup, kesejahteraan dan maruah orang yang terjejas akibat krisis, selain keselamatan aktivis kemanusiaan.

Justeru, WHD mengingatkan kita semua untuk mengiktiraf dan menghargai para aktivis kemanusiaan yang terus memberikan perkhidmatan kepada penduduk yang memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan.

Terkini, Laporan Tinjauan Kemanusiaan Global 2022 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan bahawa 274 juta orang, berbanding 235 juta pada 2021 memerlukan bantuan kemanusiaan melalui sokongan beberapa penderma dan organisasi pelaksana di seluruh dunia yang melambangkan perkampungan kemanusiaan global.

Antara cabaran kemanusiaan semasa yang dihadapi dunia marcapada ini, adalah konflik Rusia-Ukraine, kekejaman Israel terhadap Palestin, keadaan iklim yang teruk dan bencana alam serta kesan sosio-ekonomi daripada pandemik Covid-19. Ini mengingatkan kita semua bahawa mereka yang berada di barisan hadapan perlu sentiasa berganti dari semasa ke semasa.

Oleh itu, tidak salahnya untuk kita mendidik generasi baru ini melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan bagi menerapkan sifat keperibadian dalam diri mereka tentang kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat.

Apbila kita beritahu kita adalah seorang aktivis atau ingin menjadi aktivis, mungkin ada yang memandang serong ataupun memandang tinggi terhadap kita, namun apabila kita bercerita tentang aktivis kemanusiaan, kita akan menerima reaksi yang sangat berbeza.

Iaitu reaksi seorang wira, seseorang yang ambil peduli tentang kesusahan orang lain tidak kira di mana sahaja sama ada orang yang dekat dengan kita mahupun jauh. Ada yang sanggup meninggalkan keluarga berbulan-bulan demi melaksanakan tanggungjawab dalam membela nasib ummah.

Sumbangan tidak semestinya berbentuk keringat dan tenaga, malah sumbangan sekecil-kecil RM1 juga sudah mampu membuat insan yang memerlukan pertolongan tersenyum bahagia.

Rasanya kebanyakan daripada kita mesti pernah mendengar orang mengatakan bahawa sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain. Sabda Nabi Muhammad SAW :

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya : “Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut, mereka dimuliakan Allah S.W.T ialah manusia sentiasa berbuat kebaikan yang memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya.

Semakin banyak kemanfaatan yang boleh kita berikan kepada mereka, bermakna semakin baik pula kedudukan kita di sisi Allah Subhanahuwata‘ala mahupun di sisi manusia.

Mungkin sudah tiba masanya, semua lapisan masyarakat mengambil berat berkenaan aktiviti kemanusiaan atau kesukarelawanan bagi melahirkan komuniti yang bersedia memberi khidmat bakti daripada segi tenaga dan idea kepada yang memerlukan.

Semoga semangat kesukarelawanan masih tebal bersemi di hati rakyat Malaysia, dan nilai kemanusiaan juga terus utuh.

Selamat Hari Kemanusiaan Sedunia!

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button