
Impian skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk mara ke Piala Asia B-23 2026 tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Thailand pada aksi terakhir Kelayakan Kumpulan F di Stadium Thammasat, Pathum Thani, malam ini.
Thailand terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Kakana Khamyok pada minit ke-32, namun Harimau Muda pantas menyamakan kedudukan lapan minit kemudian hasil rembatan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri untuk kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama.
Aksi babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi gagal menambah jaringan. Ketika perlawanan hampir berakhir dengan keputusan seri, Khamyok muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
Kemenangan itu memastikan Thailand menjuarai Kumpulan F dengan tujuh mata sekali gus layak ke pusingan akhir, manakala Lubnan di tempat kedua berdasarkan kelebihan jaringan.
Skuad kendalian Nafuzi Zain menutup kempen kelayakan di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata hasil kemenangan 7-0 ke atas Mongolia, sekali gus gagal menempah tiket ke kejohanan utama benua itu.
— BERNAMA