DomestikSemasa

Hikayat Fandom lancar empat buku baharu di SIBF 2025

Festival Buku Antarabangsa Selangor SIBF 2025 terus meriah dengan pelancaran empat karya terbaharu oleh Hikayat Fandom, menandakan kemunculan kuat gelombang budaya Pan Asia Tenggara dalam dunia penerbitan. Pelancaran berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, yang menjadi tuan rumah festival bermula 28 November hingga 5 Disember.

Pengasas bersama Hikayat Fandom, Ninot Aziz, berkata tiga daripada karya baharu itu ialah Ensiklopedia Mini Bersiri Tamadun Dunia Silam, Beyond the Malay Archipelago: An Illustrated Encyclopaedia of Ancient Southeast Asia serta edisi capaian antarabangsa novel fiksyen sejarahnya, Kembara Leyla Rahsia Empayar Uthmaniyah. Menurutnya, penerbitan tersebut lahir daripada gabungan penyelidikan, kreativiti dan kerjasama serantau yang bertujuan mengangkat semula warisan ilmu Asia Tenggara ke persada global.

Ensiklopedia Mini Bersiri Tamadun Dunia Silam merupakan jilid pertama daripada lima koleksi yang dihasilkan bersama 20 pakar dunia, termasuk ahli akademik dari Malaysia, Indonesia, Singapura, United Kingdom, Portugal dan Sweden, selain ilustrator dari Dublin dan rantau ini. Buku itu menghimpunkan pengetahuan mengenai kerajaan kuno, kuasa maritim, epik klasik, seni bina, tokoh patriotik dan tapak warisan dunia dalam satu naskhah bergambar yang komprehensif.

Pelancaran turut memperkenalkan Kembara Leyla Rahsia Empayar Uthmaniyah, versi bahasa Melayu hasil adaptasi semula daripada karya asal Leyla’s Quest Echoes of Uthmaniyah, ditulis oleh Ninot bersama penterjemah Irni Fazrita Farid. Beliau mendedahkan bahawa sebuah edisi Indonesia telah disahkan untuk diterbitkan pada 2026, menunjukkan perkembangan gerakan sastera ini ke peringkat serantau.

Turut dipersembahkan buku A Book of Poems: Meowgical Tails Of Malaysia, karya Prof Mohd Said Bani C. M. Din dengan ilustrasi Shahren Retashah, yang membawa pembaca mengikuti pengembaraan tiga kucing ke lokasi ikonik seluruh negara.

Acara tersebut juga menyaksikan penyampaian Anugerah Storyteller Guild 2025 kepada penggiat teater Shanthini Venugopal, serta pelancaran laman sesawang rasmi Hikayat Fandom, www.hikayatfandom.com. Majlis diserikan dengan persembahan penyanyi Aisha Retno yang mendendangkan lagu Mayang Sari daripada siri GEMA HIKAYAT dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Hadir sama ialah Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Khair Ngadiron dan pengasas bersama Hikayat Fandom Rudy Daud.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button