
Seorang hos radio BBC telah memutuskan talian seorang pemanggil secara langsung selepas wanita itu menuduh BBC dan kerajaan Parti Buruh UK “bersubahat” dalam pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Insiden itu berlaku pada Khamis ketika segmen siaran BBC Radio 2, dihoskan oleh Tina Daheely, yang meminta pendengar berkongsi idea ucapan perkahwinan. Seorang pemanggil dari Manchester, dikenali sebagai Mary, memulakan perbualan dengan ucapan terima kasih sebelum berkata:
“BBC dan Kerajaan UK bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai Palestin–”
Talian itu terputus sebelum Mary sempat menghabiskan ayatnya, termasuk menyebut perkataan “pembunuhan beramai-ramai”.
Daheely kemudian menjelaskan:
“Oh, okey, bukan tentang ucapan perkahwinan sama sekali. Potong yang itu kerana saya tidak tahu apa lagi yang akan mereka katakan. Kami bercakap tentang ucapan perkahwinan di sini.”
BBC telah lama menjadi sasaran kritikan kerana didakwa mengamalkan ‘double standard’ dalam liputan konflik Israel–Palestin. Sejak serangan Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, demonstrasi berterusan di luar ibu pejabatnya di London menggesa liputan yang lebih adil.
Menurut laporan Pusat Pemantauan Media (CfMM), analisis terhadap lebih 35,000 kandungan BBC menunjukkan kematian rakyat Israel menerima liputan 33 kali lebih banyak berbanding kematian rakyat Palestin, dengan bahasa yang jauh lebih emotif.
Serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 61,700 rakyat Palestin. Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang serta jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel kini turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Sumber: TRT Global / The National / CfMM