DomestikSemasa

Identiti Dua Mangsa Rentung Dalam Nahas Ngeri Di Plaza Tol Jitra Dikenal Pasti

Pihak polis telah berjaya mengenal pasti identiti dua individu yang maut dalam keadaan rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan ngeri dan terbakar di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim, mengesahkan pemandu kenderaan tersebut ialah Pang Seng Chin, 20, seorang peniaga yang beralamat di Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis. Manakala penumpang wanita dikenal pasti sebagai Tan Hui Shan, 19, yang tidak bekerja dan berasal dari Jelutong, Pulau Pinang.

Menurut Mohd Radzi, kejadian yang berlaku sekitar jam 1.15 pagi itu bermula apabila kereta jenis Honda Civic yang dinaiki kedua-dua mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan. Kenderaan tersebut kemudiannya merempuh pembahagi lorong tol menyebabkan ia terbalik sebelum api marak membakar keseluruhan kenderaan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati punca kematian mangsa lelaki adalah disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada, manakala mangsa wanita meninggal dunia akibat penyedutan asap kebakaran. Kedua-dua mangsa turut mengalami kesan lecur yang teruk dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

SUMBER: BERNAMA

Related Articles

Back to top button