Semasa

Interpol bantu Malaysia siasat aktiviti ‘darknet’

Berikutan peningkatan penggunaan laman web gelap

KUALA LUMPUR : Polis Antarabangsa (Interpol) akan membantu lima negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia, menyiasat aktiviti berkaitan pengganas biologi menerusi ‘Darknet’.

Ini berikutan peningkatan penggunan laman web gelap itu bagi memperoleh, memindah dan menyeludup bahan atau senjata biologi yang kini menjadi kebimbangan utama komuniti penguatkuasa di seluruh dunia.

Penyelaras Unit Pencegahan Keganasan Biologi Interpol, Adrien Sivignon berkata, negara lain yang akan turut dibantu melalui Project Pandora itu ialah Indonesia, Filipina, Thailand, dan Vietnam.

“Kami akan melaksanakan Project Pandora di Asia Tenggara pada suku pertama tahun depan. Kami harapkan sokongan lanjut daripada negara terbabit bagi menyiasat web gelap bagi mengekang aktiviti haram.” – Penyelaras Unit Pencegahan Keganasan Biologi Interpol / Adrien Sivignon.

Beliau adalah seorang daripada ahli panel pada Forum Keselamatan Siber ASEAN bersempena Persidangan dan Pameran Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2021 yang berlangsung secara maya.

Unit Pencegahan Keganasan Biologi Interpol memperkenalkan Project Pandora bagi meningkatkan kemampuan polis dan penganalisis perisikan dalam menyiasat aktiviti berkaitan keganasan biologi menerusi web gelap.

Sivignon berkata, mereka mengakui ancaman penggunaan bahan biologi oleh ‘non-state actor’ (pelaku bukan negara), penggunaan laman web sebagai platform untuk perdagangan haram bahan biologi serta peralatan dwiguna, selain menangani cabaran teknikal dalam menyiasat laman web itu.

CDYES 2021 yang bertemakan ‘Embedding Resilience Within Our Cyberspace’ dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Keselamatan Siber Negara dari 28 hingga 30 Jun.

– BERNAMA

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button