DuniaSemasa

Banjir Libya : Lebih 43,000 orang kehilangan tempat tinggal, lapor IOM

Bencana banjir Libya, yang mengorbankan beribu-ribu orang di bandar Derna, juga menyebabkan lebih 43,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi.

“Dianggarkan 43,059 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di timur laut Libya,” kata IOM pada Khamis, sambil menambah bahawa kekurangan bekalan air menyebabkan ramai keluar dari Derna menuju ke kawasan lain.

Perkhidmatan mudah alih internet sementara berjaya dipulihkan selepas gangguan selama dua hari, berikutan protes yang menyaksikan penduduk menyalahkan pihak berkuasa atas jumlah kematian yang tinggi.

Dalam wawancara televisyen pada petang Rabu, pendakwa raya Libya Al Seddik Al Sour berikrar mempercepatkan lagi siasatan punca tragedi itu.

Beliau menambah bahawa mereka yang disyaki melakukan rasuah atau kecuaian sudah dikenal pasti, tanpa menamakan mereka.

Sementara itu, mangsa yang terselamat di Derna kini berdepan ancaman baharu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran minggu ini bahawa wabak penyakit boleh membawa krisis kedua yang dahsyat ke kawasan yang dilanda banjir.

Pegawai tempatan, agensi bantuan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bimbang tentang risiko wabak penyakit, terutamanya daripada air yang tercemar dan kekurangan sanitasi.

Pusat kawalan penyakit Libya telah memberi amaran bahawa air di zon bencana tercemar dan mengesa penduduk supaya tidak menggunakannya.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button