Israel buka semula pintu Rafah untuk bantuan kemanusiaan

GAZA – Israel akan membuka semula lintasan Rafah pada Rabu bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dari Mesir memasuki semenanjung Gaza, menurut penyiar awam Israel, KAN.
Menurut laporan itu, sebanyak 600 trak membawa bantuan kemanusiaan akan dihantar ke Gaza melalui lintasan berkenaan dengan koordinasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan antarabangsa, sektor swasta dan negara penderma.
PBB serta pelbagai pertubuhan kemanusiaan sebelum ini mendesak pembukaan semula sempadan Rafah, susulan krisis kemanusiaan terburuk di Gaza selepas dua tahun peperangan yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Pada Ogos lalu, PBB mengisytiharkan berlakunya kebuluran di Gaza, namun Israel menolak dakwaan itu.
Menurut KAN, keputusan membuka semula sempadan Rafah dibuat selepas Hamas menyerahkan empat lagi mayat tawanan kepada Israel pada malam Selasa, di bawah perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa Jumaat lalu.
Perjanjian yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu menetapkan Hamas perlu menyerahkan semua tebusan, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia dalam tempoh 72 jam selepas gencatan senjata bermula.
Setakat ini, Hamas membebaskan semua 20 tawanan yang masih hidup dan lapan daripada 28 mayat tebusan yang masih disimpan di Gaza.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir, pada Selasa memberi amaran akan menyekat penghantaran bantuan ke Gaza sekiranya Hamas gagal menyerahkan baki mayat tentera Israel.

KAN turut melaporkan, keputusan membenarkan bantuan memasuki Gaza dibuat selepas Israel dimaklumkan bahawa Hamas berhasrat menyerahkan empat lagi mayat tebusan pada Rabu, meskipun perkara itu belum disahkan oleh kumpulan itu. – Reuters