DuniaSemasa

Protes perintah berkurung di Belanda bertukar menjadi ganas

THE HAGUE : 19 penunjuk perasaan ditahan polis Belanda dalam rusuhan membantah langkah kawalan pandemik Covid-19 yang memasuki malam kedua.

 

Tindakan kerajaan memperketatkan penguatkuasaan langkah bagi menangani penularan coronavirus mendapat tentangan hebat dari sejumlah penduduk di situ.

 

Ratusan penunjuk perasaan bertindak membakar basikal dan skuter elektrik di tengah persimpangan yang sibuk, menurut anggota polis berpakaian anti rusuhan.

 

“Jumlah keseluruhan individu yang ditahan pihak polis adalah 19 orang, antara lain atas kesalahan menghina,” kata polis The Hague dalam satu kenyataan.

 

Koresponden AFP turut menyaksikan polis anti rusuhan mengheret seorang wanita dari sebuah kereta yang lalu, sebelum ditahan dan dibawa masuk ke dalam van polis di situ, selepas dia menjerit ke arah mereka.

 

Polis turut memberitahu, lima anggotanya cedera ketika pergolakan itu, sementara batu yang dibaling perusuh menyebabkan tingkap ambulans yang lalu-lalang membawa pesakit pecah.

 

Rusuhan turut tercetus di bandar Urk dan bandar di selatan wilayah Limburg berpunca daripada peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan coronavirus, dengan penyokong yang berang bertindak menganggu dua perlawanan bola sepak yang diadakan secara tertutup.

 

Sementara itu, Belanda melaksanakan semula perintah berkurung separa yang pertama ketika musim sejuk di Eropah Barat pada Sabtu lalu dengan sekurang-kurangnya tiga minggu sekatan.

 

Negara itu kini merancang untuk mengenakan sekatan kepada individu tidak divaksinasi daripada memasuki beberapa tempat, yang dikatakan sebagai pilihan 2G.

 

Untuk rekod, Belanda berdepan rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa dekad ini pada Januari lalu selepas kerajaan memperkenalkan perintah berkurung.

 

– AFP

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button