PalestinSemasa

Israel Dedah Rancangan Rampasan Tanah Gaza Sebagai ‘Perimeter Keselamatan’

Kerajaan Israel mendedahkan rancangan baharu untuk memperluaskan pendudukan di Gaza dengan menubuhkan apa yang digelar sebagai “perimeter keselamatan”, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar terhadap nasib lebih dua juta penduduk Palestin di wilayah berkenaan.

Menurut laporan TRT World, rancangan yang diluluskan Kabinet Keselamatan Israel awal Ogos itu memberi tumpuan khusus untuk menawan Kota Gaza, kawasan paling padat dengan kira-kira 740,000 penduduk, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan populasi di enklaf berkenaan.

Rancangan itu dilaporkan mempunyai lima matlamat utama – melucutkan senjata Hamas, membebaskan tebusan, memusnahkan Gaza, meletakkan kawalan keselamatan Israel serta menubuhkan “pentadbiran awam alternatif” menggantikan Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin.

PBB menganggarkan sekitar 86 peratus rakyat Palestin kini tinggal di bawah zon tentera atau perintah pemindahan Israel, manakala pegawai Israel sendiri mengakui telah menguasai hampir 75 peratus wilayah Gaza.

Jika pelan itu dilaksanakan, ia bakal melibatkan operasi darat besar-besaran ke atas baki 25 peratus wilayah yang masih dihuni lebih sejuta penduduk Palestin – kebanyakannya pelarian akibat serangan berterusan.

Sehingga kini, lebih 60,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dilaporkan terkorban akibat serangan udara dan darat Israel sejak Oktober lalu. Bagaimanapun, kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu masih gagal mencapai matlamat membebaskan tebusan serta menghapuskan sepenuhnya Hamas yang masih mengawal rangkaian terowong bawah tanah.

Netanyahu sebelum ini menegaskan beliau mahu mewujudkan “perimeter keselamatan” tetapi tidak bercadang mentadbir terus Kota Gaza. Kenyataan itu menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan wujudnya rancangan pemindahan besar-besaran hampir dua juta rakyat Palestin ke negara lain.

Beberapa penganalisis antarabangsa menyifatkan rancangan itu sebagai taktik tekanan terhadap Hamas untuk mencapai perjanjian tebusan, manakala Hamas pula memberi amaran akan memberikan “tentangan sengit” serta melabel tindakan Israel sebagai jenayah perang.

Ketidakpastian turut timbul mengenai fasa selepas pencerobohan, apabila Netanyahu merujuk kepada “kuasa Arab” yang kononnya akan mengambil alih pentadbiran Gaza, namun sehingga kini tidak jelas sama ada Jordan atau Mesir bersedia memainkan peranan tersebut.

Rancangan ini sekali lagi mencetuskan kritikan meluas, termasuk daripada bekas pegawai Israel dan pakar ketenteraan antarabangsa, yang memberi amaran bahawa strategi Netanyahu hanya akan menjadi “perangkap” dan menambahkan lagi penderitaan rakyat Palestin.

— Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button