PalestinSemasa

Israel Lancar Serangan Udara Setiap 8-9 Minit di Gaza – PBB

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang kesan kemanusiaan yang semakin parah di Gaza selepas tentera Israel memperhebatkan serangan udara ke atas wilayah yang dikepung itu.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, Israel kini melancarkan serangan hampir setiap lapan hingga sembilan minit sejak 24 jam lalu.

“Pasukan Israel telah meningkatkan serangan mereka dengan akibat yang memusnahkan orang awam,” katanya pada sidang media di New York.

Menurut Dujarric, kira-kira 16,500 penduduk berpindah dari Gaza Utara ke kawasan selatan pada Khamis sahaja. Agensi bantuan PBB turut ditempatkan di sepanjang laluan perpindahan untuk memberi sokongan psikososial, rujukan kes khusus, serta mendidik orang ramai tentang bahaya senjata yang tidak meletup.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terdapat ratusan ribu penduduk yang kekal di Gaza City dan sangat bergantung kepada bantuan kemanusiaan, manakala banyak perkhidmatan asas terpaksa ditutup atau dipindahkan.

Mengenai akses bantuan, Dujarric mendedahkan bahawa daripada 15 pergerakan yang cuba diselaras dengan pihak berkuasa Israel pada Khamis, hanya tujuh dibenarkan sepenuhnya.

“OCHA menggesa Israel memudahkan operasi kemanusiaan tanpa halangan, termasuk pergerakan bantuan merentasi Semenanjung Gaza,” tegasnya.

Sementara itu, di Tebing Barat, lebih 3,000 rakyat Palestin – separuh daripadanya kanak-kanak – telah dipindahkan sejak Oktober 2023 akibat serangan peneroka haram Israel dan sekatan akses oleh pihak berkuasa Israel.

Sejak perang berterusan hampir setahun lalu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 65,400 orang terbunuh. Angka itu, menurut PBB, dianggap boleh dipercayai dan mencerminkan skala kemusnahan yang sedang berlaku.

— Agensi

Related Articles

Back to top button