KOTA TINGGI 19 Mac : Seekor gajah betina dewasa ditemui mati selepas dilanggar beberapa buah kenderaan dalam kejadian di Batu 7 Jalan Kota Tinggi-Mersing di Kota Tinggi, malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, gajah betina dewasa itu ditemui mati di tepi jalan berkenaan yang merupakan laluan kumpulan kawanan Gajah Panti yang terdiri daripada 30 hingga 40 ekor.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 12.15 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke tempat kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati gajah itu disyaki dilanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan beberapa kenderaan lain termasuk sebuah lori treler.
“Menurut saksi, kejadian berlaku malam tadi kira-kira pukul 11 malam apabila Mitsubishi Triton dari arah Kota Tinggi menghala Mersing telah melanggar gajah tersebut. Beberapa buah kenderaan lain turut terlibat termasuk sebuah lori treler yang tidak sempat mengelak gajah tersebut di atas jalan raya,”- Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor / Salman Saaban
Jelasnya, pihak jabatan sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan jumlah sebenar kenderaan yg terlibat serta bilangan mangsa yang tercedera kerana hanya sebuah lori yang terlibat dengan kemalangan tersebut berada di lokasi kejadian semasa pihak jabatan tiba.
“Pihak jabatan telah mengambil data morfologi asas sebelum bangkai gajah ditanam pagi ini. Sehingga kini pihak jabatan masih lagi berada di lokasi kejadian untuk memantau saki-baki kumpulan gajah tersebut yang masih lagi berada di sekitar kawasan kemalangan sehingga bangkai tersebut ditanam,” – Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor / Salman Saaban
Tambahnya lagi, gajah tersebut merupakan sebahagian dari kumpulan Gajah Panti yg dianggarkan berjumlah 30 hingga 40 ekor dan Jalan Kota Tinggi-Mersing merupakan ‘hotspot’ laluan lintasan gajah terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14.
– K! ONLINE
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan Hafeez Nor Hanif bin Anuar.