
Serangan tentera Israel yang bertubi-tubi di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa rakyat Palestin, lapor pihak berkuasa kesihatan tempatan, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melawat Timur Tengah.
Menurut pakar perubatan, kebanyakan mangsa, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah-rumah di kawasan Jabalia di utara Gaza pada Rabu. Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan, “Sesetengah mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya, di mana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kerana kekangan keupayaan.”
Laporan agensi berita Wafa menyebut, serangan di Jabalia dan kem pelariannya telah membunuh kira-kira 50 orang, dengan pasukan pertahanan awam menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa dari runtuhan. Di Bandar Gaza dan Khan Younis, serangan udara berasingan meragut lima nyawa, manakala di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis, sebuah keluarga empat beranak terbunuh apabila khemah mereka dibom. Di Al-Fukhari, tenggara Khan Younis, 10 orang maut dalam serangan ke atas sebuah rumah, lapor radio Al-Aqsa.
Harapan Gencatan Senjata Semasa Lawatan Trump
Rakyat Palestin menaruh harapan agar lawatan Trump ke Arab Saudi, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu dapat mendesak Israel ke arah gencatan senjata. Pada Isnin, Hamas membebaskan Edan Alexander, tebusan Amerika terakhir yang diketahui masih hidup, dan Trump berkata di Riyadh pada Selasa bahawa lebih ramai tebusan akan dibebaskan, sambil menegaskan rakyat Gaza berhak mendapat masa depan yang lebih baik.
Namun, usaha gencatan senjata masih goyah, dengan Hamas dan Israel saling menyalahkan. Rundinigan baru telah dimulakan di Doha, dengan pengantara dari Amerika Syarikat, Mesir, dan Qatar, sementara utusan khas Trump, Steve Witkoff dan Adam Boehler, bertemu keluarga tebusan di Tel Aviv, menyatakan peluang perjanjian pembebasan banduan semakin cerah.
AS turut mencadangkan pelan membuka semula saluran bantuan kemanusiaan di Gaza melalui kontraktor swasta, yang disokong Israel, tetapi ditolak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi bantuan antarabangsa. Butiran pelan ini, termasuk pembiayaan, masih kabur.
Sumber: TRT Global, Reuters