
Israel merancang untuk merampas kawasan besar tapak arkeologi Sebastia di utara Tebing Barat yang diduduki, menurut dokumen kerajaan yang diperoleh Associated Press, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai perluasan penempatan haram walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap keganasan peneroka. Pengumuman itu dibuat ketika peneroka Israel memasang pos luar baharu berhampiran Bethlehem hanya beberapa jam selepas seorang lelaki Israel mati ditikam di persimpangan utama berdekatan.
Pentadbiran Awam Israel mengeluarkan perintah pada 12 November yang menyenaraikan tanah yang mahu diambil alih di Sebastia, sebuah tapak bersejarah yang kaya dengan peninggalan tamadun purba dan dikelilingi ribuan pokok zaitun. Peace Now, kumpulan pemantau penempatan Israel, berkata kawasan yang cuba dirampas berjumlah sekitar 1,800 dunam atau 450 ekar, menjadikannya rampasan terbesar yang pernah dilakukan Israel terhadap tanah arkeologi penting di Tebing Barat. Tapak itu turut dipercayai sebagai tempat Nabi Yahya atau John the Baptist dikebumikan, menjadikan lokasi tersebut signifikan bagi masyarakat Kristian dan Muslim Palestin.
Laporan itu menyatakan bahawa Israel telah memperuntukkan lebih 30 juta syikal bagi mengubah kawasan tersebut menjadi tarikan pelancong, dengan kerja penggalian sudah bermula sejak 2023. Penduduk Palestin diberikan tempoh 14 hari untuk membantah perintah tersebut, namun kumpulan hak asasi menyifatkan proses itu hanya simbolik kerana bantahan lazimnya tidak dipertimbangkan oleh pihak berkuasa Israel.
Dalam masa yang sama, peneroka Israel mengumumkan kewujudan pos haram baharu berhampiran Bethlehem, di kawasan yang sebelum ini merupakan pangkalan tentera. Gambar yang dikongsi menunjukkan struktur sementara dan jentolak bekerja di lokasi itu. Pengerusi majlis peneroka Etzion, Yaron Rosenthal, memuji pembinaan pos tersebut, manakala Hamas menyatakan insiden penikaman yang berlaku di kawasan itu adalah tindak balas terhadap pencerobohan Israel, walaupun kumpulan itu tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Tindakan terbaru ini berlaku ketika laporan Human Rights Watch menyatakan Israel mungkin telah melakukan jenayah perang selepas mengusir 32,000 rakyat Palestin dari tiga kem pelarian di Tebing Barat dalam operasi ketenteraan tahun ini. Laporan itu menambah tekanan ke atas kerajaan Israel yang kini dikuasai tokoh politik sayap kanan termasuk Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben Gvir, kedua-duanya penyokong kuat penempatan haram.
Israel telah menawan Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza sejak perang 1967 dan menempatkan lebih 500,000 peneroka Yahudi di Tebing Barat melalui ratusan penempatan yang dianggap haram di sisi undang undang antarabangsa. Amerika Syarikat melalui Setiausaha Negara Marco Rubio menyatakan kebimbangan bahawa keganasan peneroka yang semakin meningkat mungkin mengganggu kestabilan gencatan senjata di Gaza, namun menegaskan Washington akan berusaha untuk mengelakkan eskalasi lebih besar.
Sumber: AP







