KerohanianPendidikanPolitikSemasa

Jawatan: Antara tanggungjawab dan habuan dunia

Oleh: Amir Aiman (Wartawan Pelatih)

Realiti kehidupan hari ini menyaksikan betapa ramai manusia tertipu kerana pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang menjadi angkuh apabila terlalu menyanjung tinggi status atau gelaran yang dimiliki.

Perkara ini bertambah parah apabila terdapatnya individu-individu yang tergilakan jawatan sehingga menyebabkan sesuatu jawatan itu diisi oleh mereka yang tidak berkelayakan.

Hukum meminta jawatan tidaklah diharamkan secara syar’ie dalam Islam kerana larangan yang disebut dalam beberapa hadis tentang meminta jawatan bukan bersifat pengharaman (التحريم). Namun ia mempunyai had dan batasan yang perlu diikuti seperti tidak cintakan dunia dan hanya mengejar habuan.

Islam meletakkan beberapa garis panduan kepada umatnya berkenaan bab memegang amanah dan meminta jawatan. Tidak sewenang-wenangnya untuk terus mendapat sesuatu jawatan atau kedudukan tanpa ilmu yang benar. Nabi SAW bersabda berkenaan bahaya meminta jawatan iaitu:

“إنكم ستحرصون على الإمارة، وستكون ندامة يوم القيامة, فنعم المرضعة, وبئست الفاطمة”

Maksudnya“Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat”.

Riwayat al-Bukhari (676)

Imam Ash-Shan’ani dalam syarah Bulugh al-Maram mengatakan bahawa hadis ini memberi peringatan kepada sesiapa yang mempunyai jawatan atau kekuasaan tidak akan terselamat daripada neraka, kecuali mereka yang mengetahui akan kebenaran (haq) dan beramal dengannya. Barangsiapa yang tidak beramal dengan kebenaran, maka neraka merupakan tempat yang layak baginya.

[Lihat Subul al-Salam: 4/216]

Berbeza pula sekiranya kita diberi jawatan sedangkan kita tidak meminta. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman Samurah RA bahawa rasulullah SAW bersabda,

“يا عبد الرحمن بن سمرة: لا تسأل الإمارة. فإنك إذا أعطيتها عن مسألة, وكلت فيها إلى نفسك, وإن أعطيتها عن غير مسألة أعنت إليها”. متفق عليه

Maksudnya“Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta-minta akan jawatan. Jika engkau meminta permasalahan (jawatan) maka engkau akan menanggung beban itu sendiri. Tetapi jika engkau diberi permasalahan (jawatan) tanpa meminta, maka engkau akan dibantu padanya (oleh Allah SWT).

Riwayat Abu Daud (2929)

Menurut kitab ‘Aun al-Ma’bud yang mensyarahkan kitab Sunan Abu Daud, hadis di atas menjelaskan berkenaan akibat meminta-minta jawatan. Jika seseorang itu meminta jawatan, maka akan diberi kepadanya permintaan itu tanpa pertolongan (Allah SWT) dalam menyelesaikan kerja (jawatan) tersebut. Disimpulkan juga bahawa hukum meminta-minta yang berkaitan dengan kekuasaan seperti pemerintahan, penguasaan dan apa yang berkaitan dengannya adalah makruh.

[Lihat ‘Aun al-Ma’bud: 5/56]

Tetapi bagi individu yang berkelayakan dan mampu memegang jawatan adalah dibenarkan serta layak untuk meminta jawatan sebagaimana disebutkan dalam al-Quran tentang nabi Yusuf as. meminta jawatan sebagai Menteri di Mesir. Firman Allah SWT:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

MaksudnyaYusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”

(Surah Yusuf: 55)

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya turut menerangkan ciri-ciri individu yang layak meminta jawatan berdasarkan ayat al-Quran di atas. Seseorang yang menepati kriteria untuk memegang sesuatu jawatan tidak dipilih berdasarkan keturunan dan kecantikannya, akan tetapi dinilai berdasarkan kekuatannya dalam kepimpinan dan mempunyai ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan bidang yang diminta.

[Lihat Tafsir al-Jami’ li-Ahkam al-Quran: 5/142]

Kesimpulannya, hukum meminta jawatan adalah diharuskan dalam Islam tetapi perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti sihat tubuh badan, berpengetahuan dalam jawatan yang diminta dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang selayaknya.

Rujukan Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Related Articles

Back to top button