SemasaSukan

JDT Cipta Sejarah, Juara Liga Super Buat Kali Ke-12 Berturut-turut

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan dominasi mereka sebagai gergasi bola sepak negara selepas mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut malam tadi.

Kejuaraan itu dimuktamadkan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei menerusi kemenangan 3-0 ke atas DPMM FC. Kejayaan ini membolehkan skuad ‘Harimau Selatan’ mengunci gelaran juara liga dengan baki lima perlawanan, sekaligus mengekalkan dominasi sejak tahun 2014.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih Francisco Javier Munoz, JDT kini mengumpul 57 mata hasil daripada rekod kemenangan 100 peratus dalam 19 perlawanan.

JDT Terus Dominan Di Brunei

Perlawanan menentang DPMM bermula dengan JDT memberi tekanan awal. JDT hampir mendahului seawal minit ke-20 menerusi tampanan pertahanan Antonio Glauder hasil sepakan percuma, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan Glauder berada dalam kedudukan ofsaid. Pelawat terus menggempur dan percubaan tepat Corbin Ong ke penjuru gawang pada minit ke-28 diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol DPMM, Muhammad Haimi Abdullah Nyaring.

Gol pembukaan akhirnya tiba pada minit ke-33. Sepakan percuma Ager Aketxe terkena tiang gawang sebelum bola melantun masuk, memberikan kelebihan 1-0 kepada JDT. DPMM cuba bangkit pada separuh masa kedua. Rembatan pemain tengah Ibrahim Sulley pada minit ke-52 melepasi palang gol, manakala jaringan Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-55 turut dibatalkan kerana ofsaid.

JDT kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-74. Oscar Arribas menyempurnakan hantaran Afiq Fazail dengan rembatan kencang jarak dekat. Marcos Guilherme menambah duka tuan rumah dengan gol ketiga untuk memastikan kemenangan mutlak 3-0. Perlawanan tamat dalam keadaan tegang apabila pertahanan DPMM, Mohammad Fairuz Zakaria, dilayangkan kad merah pada masa tambahan kerana menyiku Glauder, menyebabkan pasukan kendalian McAllister James Reynolds itu menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

Selangor Pintas Kuching City Untuk Kedudukan Kedua

Sementara itu, dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Selangor FC berjaya memintas Kuching City FC untuk menduduki tangga kedua carta liga selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 3-2 dalam perlawanan yang mendebarkan.

Kapten Selangor, Mohamad Faisal Abdul Halim, menjaringkan gol seawal minit ke-11. Skuad ‘Gergasi Merah’ terus mendominasi dan menggandakan kedudukan menerusi penyudah Diarra Mamadou pada minit ke-63, diikuti gol ketiga oleh Hugo Boumous pada minit ke-70. KL City bangkit mengejar menerusi jaringan Madger Gomes (minit ke-72) dan Muhammad Safawi Rasid (minit ke-87), namun gagal mengelak kekalahan di laman sendiri.

Keputusan ini meletakkan Selangor, di bawah bimbingan Kim Pan Gon, di tangga kedua liga dengan 42 mata selepas 20 perlawanan. Kuching City FC pula di kedudukan ketiga dengan 40 mata dan beraksi kurang satu perlawanan.

Melaka FC Tewaskan Kelantan TRW FC

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka, Che Rashid Che Halim muncul sebagai hero pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Melaka FC menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC 2-1. Pelawat membuka tirai jaringan menerusi gol Enzo Nicolas Jacques Celestine pada minit ke-12. Melaka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem, sebelum Che Rashid meledak gol kemenangan pada minit ke-66.

Related Articles

Back to top button