Jelajah Peduli Ummah MAPIM : Semarak Subuh Tarik Ratusan Jemaah di Masjid Laksamana Hang Tuah, Melaka
Program Semarak Subuh Macam Jumaat yang diadakan di Masjid Laksamana Hang Tuah, Duyong, Melaka, pada pagi ini mencatatkan kehadiran luar biasa apabila jemaah memenuhi ruang masjid sehingga ke kawasan luar.
Program dimulakan dengan solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Syeikh Karim Al Makki, diikuti dengan tazkirah Subuh oleh pendakwah terkenal, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi. Pengisian rohani ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, YB Datuk Helmy, yang menyatakan penghargaan atas inisiatif MAPIM dalam menganjurkan program keagamaan yang memberikan impak positif kepada masyarakat.
Beliau kagum dengan usaha seperti ini yang mampu menyatukan masyarakat melalui program berbentuk pengisian rohani. Semoga ia terus menjadi inspirasi kepada semua.
Program Jelajah Peduli Ummah Diteruskan
Program ini merupakan sebahagian daripada rangka acara Jelajah Peduli Ummah yang akan diteruskan pada jam 9.00 pagi di Dataran Niaga Duyong. Acara ini dijangka melibatkan pelbagai aktiviti komuniti dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk setempat.
MAPIM, di bawah pimpinan Dr. Sani Araby Al Kahery, terus komited untuk melaksanakan misi kemanusiaan dan dakwah melalui pelbagai platform, termasuk masjid sebagai pusat penyatuan ummah.
Program ini diharapkan menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyemarakkan keindahan Islam dan meningkatkan keprihatinan terhadap keperluan sesama insan.
“Semoga segala usaha ini dipermudahkan Allah dan diberkati,” kata seorang jemaah yang turut hadir.
Jelajah Peduli Ummah telah bermula sejak tahun 2020 dan pasa siri 2024, ia telah dilancarkan di Putrajaya dan ia disokong dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Wakaf Malaysia, JAKIM, Zus Coffee dan pihak berkuasa tempatan.