PalestinSemasa

Israel Bom Majlis Pengebumian di Gaza, Ragut 8 Nyawa

Di sebalik perjanjian gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa, tentera rejim Israel terus bertindak ganas apabila melancarkan serangan dron ke atas sekumpulan penduduk Palestin yang sedang menghadiri satu majlis pengebumian di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza.

Serangan tidak berperikemanusiaan itu mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang awam manakala 20 lagi dilaporkan cedera.

Pihak Hospital Al-Awda dalam satu kenyataan pada Jumaat mengesahkan telah menerima lapan jenazah mangsa dan sedang merawat puluhan mangsa yang cedera susulan serangan bom yang menyasarkan kawasan pasaran Al-Balata itu.

Diserang Semasa Menunggu Solat Jenazah

Menurut saksi di lokasi kejadian, sebuah dron Israel telah melepaskan bedilan tepat ke arah orang ramai yang sedang berkumpul di luar Masjid Ahmad Yassin. Ketika kejadian, mereka sedang menunggu untuk memulakan perarakan pengebumian seorang lelaki Palestin yang telah dibunuh oleh tentera Israel sebelum itu.

Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan situasi cemas dan mengerikan di mana mayat serta mangsa yang parah bergelimpangan di atas tanah dengan pakaian dipenuhi darah.

Lebih 25 Terbunuh Dalam Tempoh 72 Jam

Mengulas mengenai kekejaman terbaharu itu, Pejabat Media Gaza mendedahkan bahawa tentera rejim Zionis telah membunuh lebih 25 rakyat Palestin dalam tempoh 72 jam yang lalu menerusi serangan bersiri yang menyasarkan kawasan tumpuan awam seperti pasar, majlis pengebumian, perhimpunan aman, serta rumah kediaman.

“Kami memandang serius peningkatan jenayah bersistematik oleh tentera pendudukan Israel terhadap orang awam yang tidak bersenjata. Tindakan ini secara terang-terangan melanggar semua perjanjian, konvensyen antarabangsa, dan undang-undang kemanusiaan,” jelas kenyataan pejabat tersebut.

Pihak berkuasa Gaza turut menegaskan bahawa kempen pengeboman yang semakin meningkat ini merupakan sebahagian daripada “dasar keganasan” rejim Israel untuk menghapuskan setiap nyawa di semenanjung berkenaan.

Insiden berdarah ini membuktikan Israel terus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya dipatuhi sejak ia mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Sumber: AA / TRT World

Related Articles

Back to top button