DuniaSemasa

24 tahun terpisah, rentas 500,000 km cari anak

Kasih ayah tidak terbalas

BEIJING : Setelah 500,000 km perjalanan merentasi 20 buah daerah dengan hanya menaiki motorsikal, akhirnya takdir mempertemukan seorang bapa dan anaknya yang terpisah sejak 1997.

Anak lelaki Guo Gangtang, 51, menjadi mangsa pemerdagangan manusia pada usia dua tahun ketika sedang bermain di hadapan kawasan rumah mereka.

Menurut laporan Global Times, pihak polis mengesahkan identiti mangsa yang diculik dengan menggunakan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil melalui siasatan teliti.

Polis mengesan dua suspek, seorang lelaki bernama Hu dan seorang wanita bernama Tang yang terlibat dengan kegiatan penculikan itu.

Laporan media tempatan memaklumkan anak lelakinya, Guo Xinzhen ditemui di Liaocheng, Shandong dalam keadaan selamat.

Dalam tempoh pencarian selama lebih sedekad ini, pelbagai cabaran dihadapi Gangtang termasuklah kemalangan jalan raya sehingga patah tulang , dirompak dalam perjalanan dan 10 buah motorsikal telah ditukar ganti demi mencari anaknnya yang hilang.

Ke mana sahaja Gangtang pergi, pasti sepanduk paparan wajah anak lelakinya itu dibawa. Hampir separuh hidupnya dihabiskan untuk berjumpa semula anaknya sehingga beliau sanggup berteduh di bawah jambatan dan mengemis kerana kehabisan wang.

Pengorbanan seorang bapa ini menarik perhatian ramai sehingga kisah hidup beliau diadaptasi ke sebuah filem lakonan pelakon terkenal Andy Lau yang bertajuk Lost and Love pada 2015.

Gangtang kini giat dalam menyebarkan kesedaran mengenai pemerdagangan manusia dan membantu ibu bapa yang mengalami nasib yang sama seperti beliau.

Di China, kegiatan haram ini menjadi masalah terbesar dengan ribuan kes dilaporkan setiap tahun. Sejak 2015, sebanyak 20,000 kanak-kanak diculik setiap tahun. Kebanyakan kanak-kanak yang tidak berdosa ini dijadikan anak angkat di dalam dan luar negeri.

Oleh : Nurshazlin Shahrom/ Hafeez Anuar (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button