Semasa

JHEAINS minta pihak industri makanan mohon sijil halal

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memaklumkan kepada individu dan syarikat yang terlibat dengan industri makanan di sekitar negeri itu untuk memohon sijil halal.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pelbagai inisiatif dijalankan untuk memudahkan permohonan pensijilan halal dibuat, di samping menggalakkan lebih ramai untuk memohon sijil tersebut.

“Tahniah saya ucapkan kepada pihak restoran yang mengambil inisiatif untuk memohon serta melaksanakan langkah bagi mendapatkan pensijilan halal menerusi Program Cakna Halal anjuran Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.

“Saya ingin menjemput semua pihak yang berkenaan untuk memohon sijil halal melalui Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS,” katanya.

Dalam satu kenyataan, beliau turut menjelaskan bayaran pensijilan yang dikenakan bagi premis makanan hanya serendah RM100 setahun manakala bagi produk dan perkhidmatan, antara RM100 hingga RM1,000 tertakluk kepada saiz industri.

“Selain yuran yang rendah, JHEAINS akan turut memberikan tunjuk ajar mengenai Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, iaitu manual yang diguna pakai di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, pensijilan berkenaan penting kerana prosedurnya bukan hanya membabitkan sumber makanan yang halal, sebaliknya pemohon turut akan didedahkan dengan amalan kebersihan atau tayyib, perundangan serta lain-lain perkara berkaitan.

Terdahulu, JHEAINS dengan kerjasama Persatuan Pengguna Halal Negeri Sembilan mengadakan Kursus Tauliah Penyembelihan Peringkat Daerah Jempol.

Program tersebut melibatkan 131 orang peserta yang melibatkan 42 buah kariah dan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS, Ustaz Mohd Taufik Kamaludin.
Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button