Kalimah Allah di langit Terengganu
Terkesima dengan kebesaran Allah di bulan Ramadan
KUALA TERENGGANU : Rezeki bekerja lewat malam membuahkan seribu keinsafan apabila saat mendongak ke langit terlihat jelas tertera kalimah Allah kira-kira jam 3:00 pagi, awal pagi tadi.
Mohd Nor Firdaus, 34, dari Kampung Kuala Belara, Manir menjadi saksi ‘kauniah’ pada bulan yang mulia ini. Beliau kagum ketika melihat awan berbentuk kalimah Allah di langit ketika menjalankan tugas di Pasar Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam.
“Bersyukur dan berasa sangat bertuah dapat melihat kebesaran Allah dan terus berdoa mana tahu malam lailatulqadar,” kata Mohd Nor Firdaus Ibrahim.
Awan yang berbentuk kalimah Allah itu tular di media sosial sehingga ada yang mengaitkan peristiwa itu dengan malam Lailatulqadar.
“Sebelum itu, saya sedang melakukan rondaan di pasar berkenaan dan tiba-tiba saya melihat awan yang berbentuk kalimah Allah di langit.
Tambahnya, dia tidak berani untuk mengaitkan kejadian itu dengan malam lailatul qadar.
Walaubagaimanapun, malam Lailatulqadar seperti yang dijelaskan berdasarkan ayat Al-Quran jelas dinyatakan oleh Allah SWT, sesungguhnya ia merupakan malam teragung yang dihadiahkan oleh Sang Pencipta buat hamba-Nya.
Hal itu secara jelas dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam satu surah pendek iaitu Surah al-Qadr.
“Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3).
Malam yang dikenali sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan itu berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadan.
Memang kalimah itu dilihat pada malam Jumaat dan pada Ramadan tetapi ia tidak berlaku pada 10 akhir Ramadan.
Sementara itu, kurang dari lima minit awan yang berbentuk itu berubah dibawa angin.
Beliau yang juga Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), menganggap detik itu sangat bermakna baginya sepanjang bulan Ramadan. Lantas, beliau menadah tangan berdoa sebagai tanda kesyukuran dan keinsafan atas nikmat yang dipersembahkan buatnya.
Peristiwa ini dapat dikaitkan dengan petikan ayat Al-Quran mengenai kebesaran Allah SWT yang tiada tolak bandingnya.
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belum kah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belum kah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhan mu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? ” (Surah al-Fussilat , ayat 53).
Semoga bulan Ramadan ini menjadi asbab segala amalan kebaikan kita diterima oleh-Nya dan titik mula buat kehidupan kita yang baharu.
Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom