PalestinSemasa

“Kami Tidak Mahu Mentadbirnya”: Netanyahu Gariskan Rancangan Pasca Perang Gaza di Tengah Kebimbangan Kebuluran.

Oleh : Thoriq

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan rancangan untuk mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas Gaza namun menegaskan tidak berhasrat untuk mentadbir wilayah itu. Perkara tersebut disampaikan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat kabinet keselamatan bagi membincangkan pelan baharu selepas 22 bulan konflik berterusan.

Kenyataan itu dibuat ketika tekanan semakin meningkat daripada dalam dan luar negara agar Israel mencapai perjanjian gencatan senjata, sekali gus menyelamatkan lebih dua juta penduduk Gaza daripada ancaman kebuluran dan membebaskan tebusan yang masih ditahan kumpulan militan Palestin.

Dalam wawancara bersama rangkaian televisyen Amerika Syarikat, Fox News, Netanyahu menegaskan niat kerajaan untuk menguasai sepenuhnya Semenanjung Gaza, yang menjadi medan pertempuran sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

“Kami tidak mahu mengekalkan Gaza, tetapi kami mahu mewujudkan zon keselamatan. Pentadbiran wilayah itu akan diserahkan kepada pihak Arab yang mampu mentadbir dengan baik tanpa mengancam keselamatan kami, serta memberi kehidupan lebih baik kepada penduduk Gaza,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan memperluas operasi ketenteraan itu mencetuskan kebimbangan, khususnya terhadap keselamatan baki tebusan yang masih ditahan. Sejumlah 49 daripada 251 tebusan yang diculik pada 2023 masih berada di Gaza, termasuk 27 yang disahkan telah meninggal dunia.

Sementara mesyuarat kabinet berlangsung, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar pejabat perdana menteri di Jerusalem, menuntut perjanjian segera untuk membebaskan tebusan.

Hamas dalam kenyataan balas menuduh Netanyahu sengaja mengorbankan tebusan demi kepentingan politik peribadi dan agenda ideologi ekstremnya.

Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir, dilaporkan tidak sehaluan dengan cadangan untuk menduduki semula Gaza sepenuhnya. Beliau menegaskan akan terus menyuarakan pandangan tanpa rasa takut demi keselamatan askar dan rakyat Israel.

Di Gaza, penduduk bimbang peluasan operasi darat hanya akan membawa lebih banyak kemusnahan. Krisis kemanusiaan semakin meruncing dengan amaran PBB bahawa kebuluran sedang berlaku. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekurang-kurangnya 99 kematian akibat kekurangan zat makanan setakat tahun ini, angka yang berkemungkinan lebih tinggi daripada yang direkodkan.

Walaupun Israel telah melonggarkan sedikit sekatan kemasukan bantuan pada akhir Julai, jumlahnya masih jauh daripada mencukupi. Menurut PBB, Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 lori bantuan setiap hari, namun hanya sekitar 70 hingga 80 lori dibenarkan masuk dengan barangan terhad.

Sejak konflik bermula, serangan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 61,258 nyawa rakyat Palestin, manakala serangan Hamas pada 2023 meragut 1,219 nyawa di Israel.

Related Articles

Back to top button