PalestinSemasa

Kapal Utama Flotilla Diserang Dron Israel di Perairan Tunisia

Sebuah kapal utama misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dikenali sebagai Family Boat dilaporkan menjadi sasaran serangan dipercayai dilakukan menggunakan dron tentera Israel ketika berada di perairan Tunisia pada malam Isnin.

Menurut GSF melalui kenyataan di media sosial, kapal yang berdaftar di bawah bendera Portugal itu membawa ahli Jawatankuasa Pemandu GSF termasuk aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, serta Yasemin Acar. Kesemua penumpang dan anak kapal seramai enam orang disahkan selamat walaupun berlaku kebakaran di geladak utama.

“Serangan ini jelas satu tindakan provokatif untuk menakut-nakutkan kami dan menggagalkan misi kemanusiaan. Namun semangat kami tidak akan luntur. Misi aman untuk menamatkan kepungan Gaza tetap diteruskan dengan penuh tekad,” tegas kenyataan itu.

Dalam satu mesej video, Yasemin Acar menceritakan detik cemas ketika sebuah dron terbang rendah melepaskan bom sehingga menyebabkan api marak di atas kapal. Bagaimanapun, kru berjaya mengawal keadaan dan memadamkan kebakaran tersebut.

Global Sumud Flotilla, yang namanya diambil daripada perkataan Arab sumud bermaksud “ketabahan”, terdiri daripada kira-kira 20 kapal dengan lebih 150 peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Tunisia, Turkiye, Eropah, Afrika dan Asia. Penyertaan itu merangkumi doktor, wartawan serta aktivis antarabangsa.

Misi flotilla kali ini berlayar dari Barcelona hujung Ogos lalu bersama satu lagi kumpulan dari Genoa, Itali. Mereka dijadualkan meneruskan perjalanan dari Tunisia menuju Gaza pada Rabu sebagai usaha mencabar sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan.

Menurut laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebuluran sudah pun melanda utara Gaza sejak Ogos dan dijangka merebak jika sekatan Israel berterusan.

Sejak perang genosid Israel bermula Oktober 2023, lebih 64,500 nyawa rakyat Palestin terkorban manakala sebahagian besar wilayah Gaza musnah sama sekali.

Related Articles

Back to top button