Kartun hina Nabi Muhammad diulang cetak
Tandakan permulaan bicara kes serangan di pejabat akhbar - Editor
Akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo, yang menjadi sasaran penembak beragama Islam pada 2015, minggu ini mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad yang menjadi punca serangan itu.
Difahamkan, tindakan itu adalah bagi menandakan bermulanya perbicaraan pasangan adik beradik, Said dan Cherif Kouachi melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris.
Selain dua beradik terbabit, 14 individu lain didakwa bersekongkol dalam serangan sama, yang turut menyasarkan sebuah pasar raya Yahudi, akan dibicarakan esok.
Pengarah Charlie Hebdo, Laurent “Riss” Sourisseau, dalam ruangan editorial terbaru akhbar itu, menulis bahawa pihaknya ‘tidak akan berserah, tidak akan berputus asa’.
Muka depan isu Charlie Hebdo terbaru memaparkan 12 kartun yang pertama kali diterbitkan akhbar harian Denmark, Jyllands-Posten pada 2005 dan dicetak semula oleh Charlie Hebdo pada 2006, yang menimbulkan kemarahan umat Islam global.
Di tengah-tengah muka depan akhbar itu adalah kartun Nabi Muhammad yang dilukis kartunis, Jean Cabut, juga dikenali sebagai Cabu, yang maut dalam serangan itu.
Kumpulan pengarangnya menulis bahawa inilah masa yang tepat untuk menerbitkan semula kartun itu, dengan mengatakan ia adalah ‘keperluan’ bagi menandakan perbicaraan itu bermula.
“Kami sering diminta sejak Januari 2015 untuk mencetak semula karikatur Nabi Mohammad, namun enggan berbuat begitu, bukan kerana ia dilarang, malah undang-undang membenarkan kami berbuat begitu.
“Bagaimanapun, kerana perlu ada alasan yang baik untuk melakukannya, alasan yang mempunyai makna dan membawa sesuatu untuk diperdebatkan,” kata Sourisseau.
Kesediaan akhbar itu untuk melakukan kesalahan menjadikannya juara bagi kebebasan bersuara untuk kebanyakan rakyat Perancis, manakala yang lain percaya ia terlalu kerap melampaui batasan.
Bagaimanapun, pembunuhan itu menyatukan negara berkenaan dalam kesedihan dengan slogan #JeSuisCharlie (Saya Charlie) menjadi tular. – AFP