
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengesahkan tidak akan mencadangkan sebarang kuota atau peratusan khusus membabitkan calon daripada sayap itu kepada pucuk pimpinan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan DAPSY, Woo Kah Leong berkata, fokus utama sayap berkenaan ketika ini adalah untuk memastikan mana-mana calon yang bakal diketengahkan memiliki kefahaman mendalam terhadap aspirasi golongan muda serta berupaya memperjuangkan isu-isu kritikal yang dekat dengan kelompok terbabit.
“Calon tersebut perlu ada mentaliti untuk menyelesaikan isu pengangguran dalam kalangan anak muda, ada mentaliti untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan sebagainya. Itu lagi penting bagi saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam DAPSY bersama pengamal media di sini.
Mengulas mengenai kemungkinan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dimanipulasi sebagai modal politik untuk mempengaruhi sentimen pengundi di kedua-dua negeri, Woo yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar menegaskan, perkara itu sewajarnya dinilai daripada lensa dasar serta kebajikan pendidikan nasional, dan bukannya dijadikan alat propaganda menjelang PRN. Beliau turut mengingatkan bahawa komitmen pengiktirafan sijil tersebut pernah termaktub dalam manifesto Buku Jingga terdahulu, malah Barisan Nasional (BN) melalui bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga pernah memberikan janji yang serupa.
Menyentuh mengenai senario politik pasca PRN Sabah, Woo menjelaskan terdapat perbezaan landskap yang ketara antara Sabah dan Semenanjung. Jelasnya, sentimen di Sabah memperlihatkan kecenderungan pengundi terhadap parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Warisan, manakala politik di Semenanjung mempunyai kebergantungan yang lebih rapat dan saling berkait antara negeri-negeri.
Sehubungan itu, beliau menekankan peri pentingnya untuk mengukur sejauh mana masyarakat, khususnya pengundi di Johor, menyedari impak serta hasil daripada usaha gigih projek pembangunan yang digerakkan melalui kerjasama erat antara Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan dengan pelbagai pihak.
Sumber: Bernama







