DuniaSemasa

Gelanggang lawan lembu runtuh di Colombia, empat maut

BOGOTA : Insiden tempat duduk penonton di sebuah gelanggang lawan lembu roboh di Colombia telah meragut sekurang-kurangnya empat nyawa manakala 70 yang lain mengalami kecederaan.

Insiden berlaku Sabtu lalu di Espinal, wilayah Tolima. Bandar Espinal didiami oleh 78,000 penduduk dan terletak sekitar 150 kilo­meter dari ibu kota Colombia, Bogota.

Menurut laporan El Tiempo, keadaan menjadi panik selepas lembu-lembu tersebut turut terlepas dari gelanggang di jalan-jalan raya.

Video yang tular di media sosial memaparkan puluhan penonton melibatkan wanita, lelaki dan kanak-kanak terhumban ke tanah akibat sebahagian tempat duduk setinggi tiga tingkat runtuh.

“Terdapat empat individu  terkorban setakat ini (kelmarin) iaitu dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak,” kata Gabenor Wilayah Tolima, Jose Ricardo Orozco kepada stesen Blu Radio.

Orozco berkata, kerajaan tempatan akan mengharamkan acara lawan lembu yang dikenali sebagai corralejas di mana orang awam turut memasuki gelanggang untuk konfrontasi dengan lembu.

Menurutnya, acara tersebut berbahaya dan menggalakkan penderaan haiwan.

Acara lawan lembu itu merupakan sebahagian daripada pera­yaan tempatan dikenali sebagai festival San Pedro dan amat po­pular di rantau itu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button