
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah apabila kebuluran paksa yang dikenakan Israel telah meragut sekurang-kurangnya 404 nyawa sejak Oktober tahun lalu, termasuk 141 kanak-kanak, menurut sumber perubatan Palestin yang dipetik agensi berita WAFA.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa 126 daripada kematian itu – 26 daripadanya kanak-kanak – berlaku selepas badan pemantauan antarabangsa, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan (IPC) yang disokong PBB, secara rasmi mengisytiharkan Gaza sebagai zon kebuluran pada 22 Ogos.
Penduduk Gaza kini berdepan saat paling getir apabila Israel menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan sejak 2 Mac. Tindakan itu memutuskan akses lebih dua juta penduduk kepada bekalan asas, sekali gus menjerumuskan mereka ke dalam krisis kelaparan berpanjangan.
“Ini bukan sekadar sekatan, tetapi strategi kelaparan sistematik yang menyasarkan orang awam,” kata seorang pegawai kesihatan di Gaza yang enggan dikenali kerana faktor keselamatan.
Pertubuhan bantuan antarabangsa memberi amaran, angka korban dijangka terus meningkat setiap hari selagi bantuan makanan dan perubatan gagal menembusi kepungan Israel.
Gaza kini digambarkan sebagai “penjara terbuka” di mana kelaparan digunakan sebagai senjata perang, menambah lagi penderitaan rakyat Palestin yang sudah sekian lama hidup dalam bayangan konflik dan penindasan.
-TRT Word