KepenggunaanSemasa

Kenaikan harga hotel di Makkah, Madinah akan dibincang dengan Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberikan maklum balas tentang isu kenaikan harga hotel di Makkah dan Madinah dan akan berbincang dengan Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata demikian menerusi Facebook rasminya susulan laporan berhubung kenaikan harga itu yang berlaku impak daripada kenaikan kos di negara berkenaan yang pastinya memberi kesan kepada jemaah umrah.

“Saya amat memahami perkara ini sedikit sebanyak telah membangkitkan keresahan para jemaah umrah. Sepertimana sedia maklum, perkara ini adalah di luar kawalan pihak kita.”

“Ia tentunya memberi kesan bukan setakat kepada jemaah umrah Malaysia bahkan kepada jemaah negara-negara lain juga,” jelas beliau yang kini berada di Arab Saudi mewakili negara untuk menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023.

Menurut Dr Mohd Na’im beliau berharap pihak agensi umrah dapat mempertimbangkan ruang dan kaedah terbaik agar kenaikan kos keseluruhan yang dikenakan tidak melampau sehingga membebankan bakal jemaah umrah.

Semalam Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dilaporkan meminta bakal jemaah umrah bersiap sedia sekiranya berlaku kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan masing-masing pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke tanah suci.

Menurut laporan itu kenaikan harga berlaku berpunca daripada kenaikan mendadak kadar harga hotel di Makkah dan Madinah pada masa ini.

Peningkatan harga ini adalah tindak balas pasaran tekanan kos yang didepani di sana. Ia melibatkan kos pengangkutan dan penginapan perhotelan.

Tambahan tekanan kos ini terus melonjak susulan permintaan yang tinggi oleh jemaah luar negara.

Untuk makluman setakat ini, paras harga hotel telah meningkat 110% kepada sekitar 1,200 Riyal (RM 1,397) hingga 1,400 Riyal (RM1,630).

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button