Keputusan ujian Covid-19 perlu dimuat naik di aplikasi MySejahtera
KUALA LUMPUR : Pengguna kini mesti memuat naik foto keputusan ujian Covid-19, apabila mengemas kini status lapor diri jangkitan pada aplikasi MySejahtera.
Gambar itu perlu menunjukkan di mana dan bila ujian Covid-19 dibuat, selain keputusannya sama ada positif atau negatif.
Sebelum ini, selepas melakukan ujian jangkitan, pengguna hanya perlu mengisi borang pada aplikasi dengan mengesahkan sama ada ujian itu positif, negatif atau tidak sah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menasihatkan ujian saringan kendiri dijalankan sebelum berkumpul, berkunjung semasa cuti perayaan, atau menyertai sebarang acara awam.
Individu yang didapati menjadi kontak rapat dan yang belum menghabiskan vaksin mereka, termasuk tiada suntikan dos penggalak, harus diasingkan selama tujuh hari.
Jika mereka yang telah mendapat suntikan dos penggalak dan menjadi kontak rapat, mereka hanya perlu diasingkan selama lima hari sahaja.
-AGENSI