DomestikDuniaEkonomiSemasa

Ketegangan India-Pakistan Memuncak: AirAsia Gantung Penerbangan ke Amritsar

KUALA LUMPUR— AirAsia Malaysia telah mengumumkan penggantungan sementara semua penerbangan masuk dan keluar dari Amritsar, India susulan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Sri Guru Ramdas Jee Amritsar, berikutan ketegangan memuncak antara India dan Pakistan.

Menurut kenyataan AirAsia Group Bhd, penggantungan operasi tersebut bermula hari ini sehingga 9 Mei sebagai langkah keselamatan ekoran situasi geopolitik yang tidak menentu di rantau itu.

“Kami sedang memantau keadaan dengan teliti dan komited untuk mengutamakan keselamatan penumpang serta kru kami,” jelas AirAsia.

Tambah kenyataan itu lagi, semua penumpang yang terjejas telah dihubungi dan dinasihatkan agar menyemak e-mel dan telefon bimbit masing-masing bagi notifikasi rasmi berkenaan pembatalan penerbangan.

Bagi penumpang yang mempunyai tempahan ke atau dari Amritsar pada tarikh terlibat, pelbagai pilihan pemulihan perkhidmatan (SRO) telah disediakan untuk membantu menyusun semula pelan perjalanan mereka.

“Penumpang juga digalakkan untuk mengemas kini butiran hubungan mereka di AirAsia.com bagi memastikan mereka dimaklumkan sebarang perkembangan terbaru,” katanya.

Sementara itu, operasi penerbangan lain AirAsia masih berjalan seperti biasa namun dengan sedikit pelarasan laluan untuk mengelak ruang udara kawasan berisiko, selaras dengan panduan keselamatan daripada pihak berkuasa berkaitan.
-BERNAMA

Related Articles

Back to top button