Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres mengecam keras tindakan pihak berkuasa Israel yang menyerbu dan memasuki secara paksa perkarangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin, UNRWA, di Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Beliau menegaskan bahawa kemudahan itu merupakan premis rasmi PBB yang tidak boleh diganggu, diceroboh atau dikenakan sebarang bentuk tindakan eksekutif mahupun pentadbiran oleh mana-mana pihak.
Dalam kenyataannya, Guterres menyatakan bahawa Israel telah melanggar Konvensyen Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang turut disahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Beliau menyeru Israel memulihkan serta menghormati sepenuhnya kekebalan premis UNRWA dan menghentikan segala tindakan lanjut yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Ketua UNRWA Philippe Lazzarini turut mengesahkan bahawa pasukan polis Israel, diiringi pegawai perbandaran, memasuki perkarangan Sheikh Jarrah pada waktu pagi. Mereka membawa motosikal polis, trak dan forklift sebelum memutuskan semua komunikasi di kawasan itu. Menurut Lazzarini, perabot, peralatan IT dan pelbagai aset agensi dirampas. Lebih mengejutkan, bendera PBB diturunkan dan digantikan dengan bendera Israel.
UNRWA yang ditubuhkan lebih tujuh dekad lalu untuk membantu rakyat Palestin yang dipaksa keluar dari tanah mereka kini berdepan tekanan berterusan. Agensi itu telah mengalami krisis kewangan sejak Israel menghalang operasinya dan melancarkan tuduhan terhadap kakitangannya berkaitan serangan 7 Oktober 2023. Kompaun UNRWA di Baitulmaqdis terpaksa dikosongkan pada awal tahun ini.
Insiden terbaru ini meningkatkan kebimbangan antarabangsa mengenai keselamatan dan kebebasan operasi agensi kemanusiaan, khususnya ketika situasi di wilayah Palestin terus tegang.
Sumber: AA







