DuniaSemasa

Kiswah Kaabah diganti malam ini sempena kedatangan Tahun Baru Islam 1444 Hijrah

MEKAH: Kiswah, kain baldu hitam bersulamkan benang emas yang menutupi Kaabah akan diganti pada hari ini selepas solat Isyak waktu tempatan, sebagai simbolik sempena Tahun Baru Islam 1444 Hijrah esok.

Menurut laporan Saudi Gazette, seramai 166 kakitangan jabatan akan bertugas melaksanakan kerja-kerja penggantian Kiswah, selari dengan tradisi tahunan.

Agensi Berita Saudi (SPA) sebelum ini melaporkan Kiswah Kaabah akan diganti pada Sabtu (30 Julai), memetik kenyataan jabatan berkenaan pada 26 Julai.

Walau bagaimanapun, jabatan itu memaklumkan tiada anak bulan Muharram dicerap pada petang Khamis dan kiraan bulan Zulhijjah digenapkan 30 hari (30 Jun – 29 Julai) hari ini (Jumaat), sekaligus menjadikan 1 Muharram (Awal Muharram) ditetapkan pada Sabtu sebagai permulaan kalendar Islam di Arab Saudi.

Portal jabatan itu mengatakan perubahan waktu kali ini adalah sebahagian daripada perancangan jabatan bagi mengagihkan sambutan di Dua Masjid Suci serta simbolik untuk menyambut ketibaan jemaah umrah dari dalam dan luar Saudi.

Untuk rekod, kiswah diganti pada pagi setiap 9 Zulhijjah, iaitu pada Hari Arafah selepas jemaah haji bertolak ke Arafah dan Masjidil Haram bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan upacara penggantian.

Kiswah diperbuat daripada 670 kilogram (kg) sutera berkualiti tinggi, 120 kilogram benang emas dan 100 kilogram benang perak.

Related Articles

Back to top button