KesihatanSemasa

Hari Hepatitis Sedunia 2022 : Kadar notifikasi kematian Hepatitis B, C di Malaysia meningkat

Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun

KUALA LUMPUR : Malaysia menunjukkan peningkatan dari segi kadar notifikasi kematian akibat penyakit Hepatitis B dan C di Malaysia dengan masing-masing kepada 0.16 dan 0.27 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata kadar notis kes baharu Hepatitis C turut menunjukkan peningkatan kepada 8.59 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2021, berbanding 6.9 orang bagi jumlah sama pada 2015.

“Kesedaran orang ramai terutamanya dalam kalangan individu berisiko untuk membuat ujian saringan sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan kes baharu Hepatitis C.

“Peningkatan juga berlaku berikutan pelaksanaan saringan bersasar di fasiliti kesihatan, institusi penjara dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta kempen-kempen kesihatan yang dijalankan,” menurut kenyataan tersebut.

Namun, menurutnya kadar notifikasi kes baharu Hepatitis B menunjukkan penurunan kepada 11.6 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun lepas, berbanding 12.2 orang bagi jumlah sama pada 2015.

Sementara itu, bagi mengelakkan komplikasi jangkitan seperti penyakit hati yang teruk dan kanser hati seterusnya kematian. Khairy menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang berisiko supaya segera menjalani ujian saringan dan pengesanan awal.

Manakala untuk Hepatitis C pula, rawatan khusus kini boleh diberikan untuk menyembuhkan jangkitan.

Dalam pada itu, Khairy turut menasihatkan para ibu bapa untuk memastikan bayi mereka diberikan imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

“Jika terdapat anak yang tercicir imunisasi, mereka perlu mendapatkan nasihat di klinik kesihatan berhampiran untuk penjadualan semula imunisasi,” katanya.

Foto sumber FB Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Hepatitis adalah penyakit keradangan hati yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus iaitu virus Hepatitis A, B, C, D atau E.

Jangkitan virus Hepatitis A dan E kebiasaannya adalah melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar dan tidak membawa kepada penyakit yang kronik.

Manakala virus Hepatitis B, C dan D berjangkit melalui darah atau cecair badan yang boleh membawa kepada penyakit kronik serta merupakan punca utama kepada sirosis atau parut hati dan kanser hati yang memudaratkan.

Untuk rekod, Hari Hepatitis Sedunia disambut pada 28 Julai setiap tahun. Tahun ini, tema yang dipilih adalah “Hepatitis Can’t Wait” atau “Hepatitis Tidak Boleh Tunggu”, selari dengan usaha KKM untuk terus komited dalam memantapkan dan memperkukuhkan aktiviti pencegahan, kawalan, diagnosis, rawatan dan penjagaan pesakit hepatitis.

Related Articles

Back to top button