Covid19Semasa

KKM lancar laman sesawang baharu kongsi data harian Covid-19

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan laman sesawang baharu iaitu https://COVIDNOW.moh.gov.my yang boleh dilayari sejak semalam untuk perkongsian data harian Covid-19 lebih telus.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata susulan pelancaran laman sesawang itu, data harian terkini perkembangan Covid-19 di seluruh negara akan tersedia di COVIDNOW selpas 12 malam.

“Laman sesawang ini akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat umum,” katanya.

Beliau berharap melalui data dan maklumat yang dikongsikan di COVIDNOW dan GitHub, masyarakat akan mempunyai pemahaman serta kesedaran lebih baik berhubung situasi jangkitan di dalam negara.

Menurutnya, data yang dikeluarkan menerusi kenyataan akhbar harian Ketua Pengarah Kesihatan pada lewat petang yang menjadi amalan sejak pandemik bermula hanya akan diteruskan seminggu lagi.

Khairy berkata sebelum ini, KKM telah memuat naik granular termasuk data vaksinasi ke dalam GitHub dengan data yang dimasukkan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata selain perkongsian data, usaha melakukan perubahan tingkah laku dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipertingkat untuk memasuki fasa baharu hidup bersama virus Covid-19.

Mengulas situasi terkini jangkitan Covid-19 di dalam negara, Khairy berkata secara amnya, sedikit penurunan jumlah kes dapat dilihat menakala purata nilai Rt kini di bawah 1.0 iaitu 0.97.

Beliau berkata beberapa negeri telah menunjukkan situasi kadar jangkitan lebih baik seperti di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dna Melaka namun ada juga yang masih melaporkan trend mendatar serta kurang stabil seperti Perak, Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Sabah.

Khairy berkata beberapa negeri didapati menunjukkan peningkatan kes seperti Sarawak dan Terengganu manakal tindakan sewajarnya telah diambil bagi negeri yang memerlukan lebih perhatian agar bantuan dapat diberikan.

-BERNAMA

Related Articles

Back to top button