Covid19Semasa

KKM nilai semula strategi

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu MAEPS 2.0 (PKRC Bersepadu MAEPS 2.0).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata antara langkah segera yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk menambah segera katil ICU di hospital KKM dan hospital pengajar universiti.

Katanya, sebagai contoh, penambahan 20 unit katil ICU di Hospital Ampang, serta lapan katil ICU dan 45 unit katil di wad tambahan diletakkan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Ia bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.

“Setakat ini daripada kesuluruhan jumlah 5,198 katil yang disediakan, sebanyak 154 katil dikhususkan untuk pesakit Covid-19 Kategori 4 telah pun melepasi kapasiti penggunaan maksimum. Manakala, baki katil bagi pesakit kategori 1, 2 dan 3 hampir digunakan sepenuhnya.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, KKM juga akan melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) dengan sejumlah 60 buah katil dan peralatan tambahan bernilai RM1.1 juta.

“Seterusnya adalah menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR serta memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang menerima pesakit Covid-19 bagi kategori 3 dan 4,” katanya.

Mengulas lanjut, KKM turut melaksanakan segera penugasan atau mobilisasi sementara lebih 110 orang petugas kesihatan yang terdiri daripada lebih 75 pegawai perubatan, paramedik dan pemandu dari negeri Kedah, Perak dan Terengganu serta 43 pegawai perubatan di hospital Lembah Klang.

“Penugasan mereka berkuat kuasa mulai hari ini untuk tempoh satu hingga enam bulan bagi menyokong PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Dr Adham berkata, sebanyak 1,550 silinder oksigen ditambah dengan kadar segera bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

Katanya, penambahan itu meliputi sebanyak 400 unit silinder oksigen bersaiz 6.8 m3 dan 1,000 unit silinder oksigen bersaiz 1.4 m3d an 150 unit silinder oksigen bersain 0.7 m3 untuk keperluan ambulan.

“Bagi memastikan pembekalan oksigen ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 tidak terganggu, KKM juga memutuskan untuk membuat perolehan ‘oxygen concentrator’ sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal.

“Selain itu, kita juga akan mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil yang membolehkan menempatkan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 supaya PKRC MAEPS dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 Kategori 3 dan 4,” katanya.

Dr Adham Baba menjelaskan, KKM turut menyediakan sukarelawan terutamanya dari Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu menjaga pesakit kanak-kanak yang ibu bapa mereka sedang dirawat di hospital kerana dijangkiti COVID-19.

“KKM bercadang untuk bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan menubuhkan PKRC.” katanya.

Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button