EkonomiSemasa

Kurangkan Kebergantungan Luar: Kerajaan Laksana 23 Inisiatif Ganti Import Ramuan Halal Kritikal

Kerajaan telah melaksanakan sebanyak 23 inisiatif, projek, dan program di bawah tujuh teras strategik Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) setakat 30 Mei 2026. Langkah proaktif ini diambil bagi menggantikan import bahan ramuan halal kritikal serta memperkukuh industri tempatan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), daripada jumlah keseluruhan tersebut, tujuh inisiatif khusus telah dikenal pasti melibatkan aspek pembangunan ramuan halal, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pembangunan bakat, serta komersialisasi.

Pelaksanaan agenda ini dilakukan secara berfasa menerusi pemetaan kategori kritikal, pembangunan R&D, komersialisasi, fasilitasi pelaburan, pembangunan syarikat peneraju, serta padanan industri dan pembiayaan.

“Usaha ini turut disokong oleh pelaksanaan MyHALALINGREDIENTS oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mulai 15 Ogos 2025 sebagai sistem pengumpulan data bagi merekod dan menilai bahan mentah yang digunakan oleh pihak industri, terutamanya pengilang.

“Sistem ini turut diintegrasikan dengan platform sedia ada, MYeHALAL, bagi mempermudah dan mempercepatkan proses pensijilan secara keseluruhan untuk semua skim pensijilan halal Malaysia,” jelas MITI menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

Kenyataan MITI itu bagi menjawab soalan daripada Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang bertanyakan mengenai langkah strategik penggantian import bagi bahan ramuan halal kritikal demi mengurangkan kebergantungan negara kepada rantaian bekalan luar.

MITI turut memaklumkan bahawa kerajaan memilih pendekatan penggantian import secara bersasar. Fokus diberikan kepada kategori ramuan yang mempunyai nilai strategik yang tinggi, tahap kebergantungan yang besar kepada bekalan luar, serta mempunyai potensi pasaran untuk dibangunkan melalui pengeluaran domestik.

Pendekatan strategik ini juga diperkukuh menerusi padanan industri serta jalinan kerjasama dengan syarikat-syarikat peneraju demi meningkatkan penggunaan kandungan tempatan dalam rantaian bekalan halal negara.

Sumber Rujukan: BERNAMA

Related Articles

Back to top button