SemasaSukan

Lanjutan Kontrak MotoGP Malaysia Bergantung Kepada Data Pulangan Pelaburan – Hannah

Masa depan kontrak penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas 2026 masih belum diputuskan, dan ia bergantung sepenuhnya kepada laporan menyeluruh mengenai pulangan pelaburan (ROI) yang akan dikemukakan kepada kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan walaupun acara berprestij itu terus menerima sambutan luar biasa daripada peminat sukan permotoran tempatan dan antarabangsa, kerajaan perlu menilai justifikasi kewangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Semua ini memerlukan data untuk meyakinkan Kementerian Kewangan bahawa ada pulangan pelaburan. Apabila kita melabur, tandatangan kontrak dan keluarkan perbelanjaan, kita mahu ia memberi impak besar bukan hanya dari segi pelancongan tetapi juga terhadap ekonomi negara dan peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025, di sini hari ini.

Menurut Hannah, penganjuran MotoGP Malaysia menyumbang sekitar 4,500 peluang pekerjaan sementara setiap tahun, namun kerajaan mahu melihat lebih daripada sekadar angka tersebut.

“Kita juga mahu ada pemindahan kemahiran dan pengetahuan kepada rakyat. Sebab itu pengumpulan data adalah penting dan SIC perlu merekodkan segala aspek manfaat ini untuk meyakinkan Kementerian Kewangan bahawa ia bukan pembaziran,” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan bahawa SIC kini sedang dalam rundingan dengan pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna Sports, berhubung lanjutan kontrak perlumbaan di Sepang yang akan tamat pada 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah turut menyatakan keyakinan terhadap kontinjen Malaysia yang akan beraksi di Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, dari 20 hingga 26 Ogos ini. Malaysia membawa kontinjen kedua terbesar selepas tuan rumah Indonesia, dengan kekuatan 53 atlet dan 27 pegawai bagi enam acara iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan pingpong.

Beliau juga menaruh harapan besar kepada skuad badminton negara yang bakal menggalas cabaran di Kejohanan Dunia di Paris, dari 25 hingga 31 Ogos ini.

“Saya yakin pemain badminton kita boleh beraksi dengan baik, terutamanya mereka yang berada dalam Program Road To Gold (RTG). Namun, saya juga berharap mereka tidak terjejas akibat kepadatan jadual kejohanan. Apa yang penting, mereka terus beraksi dan kekal cergas tanpa mengalami kecederaan,” katanya.

Antara barisan pemain badminton negara di bawah RTG ialah pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, pasangan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

–– BERNAMA

Related Articles

Back to top button