Semasa

Lepas `bet333′ kini IBC 003 pula diterbitkan

Lagi iklan judi raya cabar pihak berkuasa dan sengaja cetus kemarahan umat Islam

BANGI : Belum pun reda iklan lagu raya berorientasikan judi bet333, dalam tempoh 24 jam satu lagi iklan lagu raya bermotif sama tular. Jika video sebelumnya mempromosi bet333 kali ini video kedua menghebahkan mengenai IBC003 pula.

Berdurasi 3 minit 19 saat video ini pula memaparkan pasangan keluarga Melayu yang dalam kesusahan dan digambarkan tidak mencukupi perbelanjaan untuk menyambut hari raya. Lantas ia mempromosikan judi dalam talian yang dipaparkan oleh pelakon di dalam iklan berkenaan.

Seolah sengaja mengaitkan orang Melayu dan  Islam dengan perkara yan terang-terangan di tegah agama penerbit ini dikatakan melampau kerana melakukannya dengan berniat. Mengapa bulan Ramadan dipilih dan tidak sensitif dengan perasaan umat Islam. Ramai para pelayar media sosial marah dengan perkara ini dan menyelar penerbitan video berkenaan.

Penyebaran iklan itu juga menghiris perasaan umat Islam yang digambarkan terlalu daif hingga perlu memilih judi sebagai penyelamat keadaan, termasuk juga pelakonnya yang begitu dangkal menerima bayaran murah dan sanggup terbabit dalam pembikinan iklan berkenaan.

Memetik Sinar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah meminta kesemua individu yang terlibat dengan penyiaran klip video berkaitan aktiviti perjudian, loteri dan kasino supaya segera bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

“Merujuk kepada isu terbabit, PMWP ingin menyeru kepada umat Islam di negara ini agar menjauhi sebarang bentuk perbuatan yang boleh mengundang kemurkaan ALLAH. Matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan-jalan seperti perjudian,” – Mufti Wilayah Persekutuan /  Datuk Dr Luqman Abdullah

Tambah Luqman, larangan kepada umat Islam untuk terlibat dengan aktiviti perjudian juga diwartakan dalam Seksyen 18, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan sindiket perjudian dalam talian cuba menghidupkan kembali aktiviti mereka selepas sekian lama menyembunyikan kegiatan berkenaan.

Ini terbukti melalui penularan dua video mempromosi aktiviti perjudian dalam talian sempena Hari Raya yang tersebar dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof, berkata pihaknya sentiasa memantau kegiatan dan aktiviti perjudian itu sama ada melalui kewujudan premis atau secara dalam talian.

“Kita (Polis KL) yakin ada usaha oleh sindiket untuk menghidupkan kembali aktiviti judi dalam talian namun pihak JSJ tidak berputus asa dan tidak akan berhenti untuk mengesan dan menangkap mereka yang terbabit. Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan aktiviti judi dalam talian yang dipromosikan ini.” – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur / Senior ACP Saiful Annuar Yusof

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button