
PDRM FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Selangor FC dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Selangor terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-21 apabila Chrigor Moraes menanduk masuk hantaran lintang Faisal Halim untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan sebelum rehat.
Bersambung babak kedua, Chrigor sekali lagi menceriakan kem Selangor apabila menambah jaringan kedua pada minit ke-49 menerusi tandukan hasil umpanan Alvin Fortes. PDRM cuba bangkit dengan merapatkan jurang gol empat minit kemudian melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Fakhrul Azim, namun kebangkitan itu tidak bertahan lama. Pemain tengah Selangor, Noor Al Rawabdeh, memastikan kemenangan pasukan Gergasi Merah apabila menyudahkan hantaran Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-67 untuk menjadikan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dalam satu lagi aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu FC turut hampa di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Sabah FC. Pasukan tuan rumah mendahului perlawanan menerusi jaringan Muhammad Akhyar Rashid pada minit ke-34 selepas menerima umpanan pemain gantian Muhammad Safwan Mazlan. Namun, Sabah FC bangkit menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama apabila Fergus Tierney menyempurnakan hantaran lintang Miguel Cifuentes.
Babak kedua menyaksikan Terengganu menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun ketangkasan penjaga gol Sabah, Daniel Lim, memastikan gawang pelawat tidak dibolosi. Sabah FC kemudian menghukum kelekaan tuan rumah apabila Adjin Mujagic menjaringkan gol kedua pada minit ke-73 sebelum menambah satu lagi menerusi sepakan penalti pada minit ke-89 untuk mengesahkan kemenangan.
Sementara itu, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, DPMM FC mencatat kemenangan 2-0 ke atas Penang FC hasil jaringan Jordan Murray pada minit ke-17 dan Azwan Ali Rahman enam minit kemudian.
Sumber: BERNAMA







