Lima bulan PKP tanpa kerja di Malaysia, pekerja Rohingya guna duit simpanan untuk terus hidup
Pentingnya simpanan
Serdang : Perancang kewangan sentiasa menyarankan, setiap orang perlu mempunyai simpanan kewangan sekurang-kurangnya enam bulan gaji. Simpanan enam bulan gaji adalah ibarat jaring keselamatan apabila terjadi kejadian yang tidak diduga.
Itulah yang terjadi kepada Wasidi, pekerja berbangsa Rohingya dari Myanmar. Beliau sudah berada di Malaysia selama enam tahun. Atas desakan ekonomi dan politik, beliau terpaksa memasuki Malaysia melalui Thailand.
Beliau adalah tunjang ekonomi keluarga selepas ayahnya meninggal dunia. Di Malaysia dia bekerja sebagai tukang paip. Pendapatannya cukup untuk dihantar pulang ke kampung. Sehinggalah datangnya Covid.
Ketika covid, Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) telah dilaksanakan dengan ketat oleh Kerajaan Malaysia. Banyak syarikat terpaksa memberhentikan atau memperlahankan operasi. Wasidi juga ikut terkesan sehingga terpaksa bercuti selama lima bulan, tanpa sebarang pekerjaan dan pendapatan.
Apabila ditanya berkenaan lima bulan itu, jawab Wasidi, “Bos tak beri makan. Saya guna simpanan sendiri. Bayar sewa, bayar makan.”
Beliau yang masih belum berkahwin dan tinggal bersama rakan dalam rumah sewa, menggunakan kelebihan itu untuk menyimpan wang. Kehidupannya sangat berjimat cermat. Setiap wang dia peroleh akan diasingkan untuk perbelanjaan harian, untuk simpanan, sewa, dan dihantar kepada keluarga di kampung. Hiburannya hanya berjalan-jalan di pusat membeli belah ataupun menonton televisyen yang mana semuanya percuma.
Wasidi ditemui ketika sedang menunggu bantuan pek makanan daripada Al Khair Foundation dan Agensi Wakaf Turki, yang diuruskan oleh MAPIM Malaysia.
Semoga dengan sumbangan kotak bantuan makanan ini akan dapat meringankan beban pelarian Rohingya ketika bulan Ramadan dan zaman covid ini.