
Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa lima pelajar yang kali terakhir berjumpa dengan Zara Qairina Mahathir dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya hanya diberikan amaran lisan oleh pihak sekolah serta dirujuk kepada Guru Bimbingan Kaunseling (GBK).
Setiausaha Unit Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Muliati Alihuddin, 42, berkata kesemua pelajar berkenaan tidak dikenakan mata penalti kerana kes kematian Zara Qairina masih dalam siasatan polis dan kini berada di peringkat prosiding mahkamah.
Beliau membuat kenyataan itu ketika disoal peguam Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, dalam prosiding inkues kematian pelajar berkenaan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Muliati turut memaklumkan bahawa pada September lalu, pihak sekolah menerima aduan berhubung kes buli membabitkan seorang pelajar lelaki yang dikatakan ditampar dan ditendang. Susulan aduan itu, dua pelajar lelaki digantung sekolah selama seminggu sebelum dirujuk kepada GBK. Hukuman digantung sekolah dikenakan kerana melibatkan sentuhan fizikal, manakala kes lima pelajar lain tidak melibatkan sebarang sentuhan.
Saksi itu mengesahkan lima pelajar berkenaan melanggar peraturan sekolah kerana mengadakan perjumpaan tanpa kebenaran dan mengeluarkan kata-kata kesat. Beliau juga memaklumkan bahawa keluarga Zara Qairina enggan menjalankan bedah siasat bagi mempercepatkan pengebumian pada malam yang sama.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada 4 pagi 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung esok.
Sumber: BERNAMA







