
Pemain perseorangan wanita negara Wong Ling Ching mengakui masih terdapat jurang yang perlu diatasi sebelum mampu menandingi pemain elit dunia secara konsisten, meskipun berjaya menewaskan Michelle Li dari Kanada di Masters Jepun 2025 awal bulan ini.
Beliau berkata peningkatan prestasi sepanjang tahun ini, termasuk kemenangan ke atas pemain ranking ke-15 dunia itu, menunjukkan bahawa aspek fizikalnya masih memerlukan penambahbaikan terutama selepas beberapa kejohanan berturut-turut.
“Untuk kejohanan ketiga, fizikal saya sudah menurun. Daya letupan di bahagian kaki hilang dan menyebabkan saya sukar mengekalkan corak permainan sebenar,” katanya ketika sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.
Selain kekuatan fizikal, Ling Ching menekankan bahawa kemahiran teknikal dan ketahanan mental juga perlu dipertingkatkan sekiranya ingin menandingi pemain elit lain. Kemenangan dalam tempoh 62 minit ke atas Michelle Li adalah kali pertama beliau mengalahkan pemain dalam kelompok 15 terbaik dunia.
“Saya rasa dari segi kemahiran dan mental, saya perlu lebih fleksibel. Itu antara perkara yang membezakan saya dengan pemain-pemain elit lain,” katanya.
Pemain berusia 22 tahun itu bagaimanapun berpuas hati dengan pencapaian dan peningkatan yang ditunjukkan sejak awal tahun, termasuk mara ke final kejohanan Super 100 di Malaysia dan suku akhir Terbuka Kanada.
Apabila ditanya mengenai sasaran untuk merampas kedudukan rakan senegara K. Letshanaa sebagai pemain utama perseorangan wanita, Ling Ching berkata keutamaan sekarang adalah menembusi kelompok 30 pemain terbaik dunia. Setakat ini, beliau menduduki ranking ke-42 dunia manakala Letshanaa berada di kedudukan ke-41.
Sumber: BERNAMA






